Saturday, September 19, 2009

cEriTa sEdiH

-------------------------------------




Episod Satu: Pertemuan Pertama

Februari 1990

Jam menunjukkan pukul 7 pagi. Aku benar-benar pasti kerana berkali-kali aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tangan kiriku. Hari ini, aku rasakan jarum panjang dan pendek itu bergerak begitu perlahan. Terkedek-kedek. Ah~!! Mungkin aku dalam keresahan, resah menantikan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi pada hari pertamaku ini.

Aku mengatur langkah kakiku menuju masuk ke kawasan sekolah dengan sejuta satu rasa yang bercampur baur. Hari ini hari pertama aku di sini. Bertugas sebagai seorang guru praktikal di sebuah sekolah yang agak terpencil. Sekolah ini cuma ada tiga buah bangunan. Dua bangunan lama setingkat dan satu bangunan baru 4 tingkat yang sememangnya baru disiapkan. Mungkin hadiah daripada kerajaan negeri kerana pilihanraya baru sahaja berlangsung. Aku tersenyum sendirian.

Aku tersenyum lagi melihat sebuah kolam yang letakknya berhampiran pintu pagar sekolah. Di sekelilingnya terhias pohon-pohon rendang. Juga terdapat air terjun yang mengalir tanpa henti. Panorama indah itu sedikit sebanyak mampu memujuk hatiku yang resah. Aku tersenyum lagi. Segala puji hanya bagi-Mu Allah.

Suasana masih sunyi namun kian menjadi hingar. Beberapa orang murid mulai mengisi ruang sekolah. Ada yang memandang aku kehairanan, mungkin aku terlalu asing bagi mereka. Aku mengerti kerana hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Setelah aku menghadiahkan senyuman, mereka tidak lokek membalasnya semula, terhibur juga aku melihat telatah mereka di pagi hari.

Aku terus menyusun langkah. Aku terlihat sebuah bangku cokelat berhampiran dengan tempat parking kereta guru, lalu aku terus melabuhkan punggungku di situ. Melepaskan lelah seketika waktu sementara menanti ketibaan guru dan pegawai yang harus aku temui pada hari pertama itu.

Seorang demi seorang murid melintasi pintu pagar sekolah. Aku sekadar menjadi penonton bisu. Ada pelbagai gelagat dan keletah kadang-kala membuatkan aku tergelak kecil sendirian. Gelihati. Tiba-tiba, tidak semena-mena bola mataku tertancap pada seorang gadis kecil.

Di belakangnya tergalas beg sekolah yang kusam dan terkoyak,aku dapat melihatnya dengan jelas. Dia mengatur langkah longlai sambil tangan sebelah kanannya memegang sebekas tupperware. Tubuhnya kecil, rambutnya pendek paras leher, hitam, lurus dan lebat. Bukan saja beg yang koyak, kasutnya juga koyak. Aku tersentuh melihatnya. Perasaanku dirundung hiba tiba-tiba. Sayu aku melihatnya.

Gadis kecil itu terus mengatur langkah, tidak sedar aku sedang memerhatikannya. Dia jalan menunduk. Merenung tanah yang bakal dipijaknya. Pandangan matanya bagaikan kosong, sedang melayang terlalu jauh. Wajahnya suram, bagai ada hirisan di hatiku kala mata kami bertautan.

Mata gadis kecil itu seolah-olah terlalu sarat dengan derita. Terlalu sukar untuk aku membacanya. Apakah yang sedang kau fikirkan wahai anak kecil? Aku bermonolog sendirian.

___________________________________________________

Episod Dua: Hikmah Sebalik Pertemuan

Aku membetulkan tag nama yang tersemat di dada kanan ku. Tag itu tertera namaku "Nora Asyikin". Aku tersenyum menatapnya. Tudung yang sudah elok aku perbetulkan lagi, bimbang kalau-kalau penampilan pada hari pertamaku itu mengakibatkan persepsi yang buruk terbit dari minda anak muridku.

Aku berdiri tegak. Berdehem kecil beberapa kali untuk melegakan tekak. Kedua belah tanganku aku genggam dan lepas berulang kali. Seiring itu juga aku menarik nafas yang dalam beberapa kali. Aku masih berdiri di hadapan kelas 2 Mawar. Masih teragak-agak untuk melangkah masuk. Setelah membaca beberapa doa yang aku hafal, aku meyakinkan diri untuk terus melangkah masuk ke dalam kelas.

Sebaik sahaja aku masuk, suasana kelas yang tadinya bising menjadi senyap tiba-tiba. Seorang pelajar yang duduk di meja paling hadapan berdiri memberi salam padaku. Lalu aku tahu, dialah ketua darjah kelas 2 Mawar. Aku menghadiahkan senyuman kepada semua pelajar lalu menyuruh mereka duduk. Semuanya bagaikan robot, akur dengan kata-kataku.

Bilangan murid kelas 2 Mawar 26 orang semuanya. Sekolah ini tidak besar, jumlah pelajar keseluruhan dari darjah satu hingga darjah enam tidak melebihi 500 orang. Setiap darjah cuma ada 2 kelas dan bilangan murid bagi setiap kelas lebih kurang 30 orang sahaja. Aku berkira-kira di dalam hati. Kesemua 26 pasang mata sedang memandang tepat ke arahku. Ada yang tersengih-sengih menatapku dan ada juga yang sekadar endah tidak endah.

"Apa khabar semuanya? Sihat tak?" Aku memulakan bicara.

"Sihat!!" suara murid bergema menjawab soalanku serentak.

"Alhamdulillah.. siapa tahu sekarang ni waktu untuk subjek apa?" Aku memancing lagi.

"Mathematic!!" sekali lagi suara murid kelas 2 Mawar bergema. Aku senyum lalu menganggukkan kepala.

"Pandai semuanya. Alhamdulillah. Saya cikgu Nora Asyikin, guru pelatih akan mengajar kelas kamu subjek mathematic mulai hari ini, sampailah ke masa yang telah di tentukan, siapa suka matematik? " Aku mula berkeyakinan untuk berhadapan dengan murid-murid di hadapanku, panjang lebar aku berceloteh. Mereka mendengar, ada yang mengangkat tangan dan ada yang cuma tersengih menampakkan giginya yang rongak. Hatiku tercuit.

"Baiklah, hari ini cikgu tak akan terus mula mengajar, cikgu nak kenal-kenal dulu dengan kamu semua. Boleh tak cikgu tahu apa nama kamu sorang demi sorang?" Aku terus menyusun strategi. Murid-murid 2 Mawar mula kelihatan menerimaku dengan senang. Di dalam hati aku bersyukur. Mereka berama-ramai setuju untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Seorang demi seorang murid berdiri memperkenalkan nama masing-masing. Ada Amin, Yusri, Helmi, Halimi, Muhammad, Azri, Hanif, Arif, Azmi, Hazizi, Baharom, Faizal, Anuar dan Syukri. Aku cuba sedaya upaya aku untuk menyimpan wajah dan nama mereka kemas-kemas dalam mindaku. Untuk menghafal semuanya dalam masa satu jam bukan mudah, syukur juga kerana mereka turut memakai tag nama, setidak-tidaknya kemudian hari aku tidak perlu bertanya soalan serupa berulang kali.

Baris demi baris berlalu akhirnya tiba giliran murid perempuan yang berambut pendek. Aku agak terkejut melihatnya, entah bagaimana aku tidak sedar kewujudan dia di dalam kelas ini dari tadi. Mungkin kerana fizikalnya yang kecil? Entahlah.. Namun dia tidak asing bagiku. Kali pertama melihatnya aku sudah merasakan bagai ada tarikan magnet antara kami. Tarikan yang misteri yang terlalu sukar untuk aku tafsirkan.

Dialah gadis kecil yang pernah aku lihat sewaktu aku sedang duduk di bangku berhampiran pintu pagar sekolah awal pagi tadi. Dia menarik kerusinya ke belakang lalu berdiri memandang ke arahku. Dia cuma tersenyum. Jantungku berdegup laju sedikit dari sebelumnya. Ada pelbagai persoalan yang sedang bermain dibenakku. Namun aku memujuk diri supaya bersabar dahulu.

Mungkin Tuhan sengaja menemukan aku dengannya. Apakah hikmah yang tersembunyi, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

_______________________________________

EDITED: 24 Ogos 2009

Episod Tiga: Kian Dekat

Dia masih berdiri dan tersenyum memandang ke arahku. Aku terpaku seketika. Bagai tersedar dari lamunan panjang, aku membalas senyumannya.

"Saya Siti Khadijah Binti Ibrahim, cita-cita saya mahu jadi cikgu" gadis kecil itu berkata-kata. Wajahnya redup memandang ke arahku. Di bibirnya masih terukir senyuman. Aku menganggukkan kepalaku berulang kali. Aku juga senyum padanya.

"Kenapa mahu jadi guru?" Aku bertanya lagi, sengaja menarik perbincangan lebih panjang dengan dia.

"Sebab jadi cikgu nanti dapat banyak hadiah bila hari guru.." Dia menjawab lirih. Aku tergelak kecil mendengarnya. Dia juga tersengih melihat aku. Beberapa ketika kemudiannya, aku mempersilakan dia kembali duduk di tempatnya.

Dia hanya menurut. Dia kembali duduk. Aku beralih kepada murid yang lain pula. Dari hujung mata aku sempat melihat wajahnya kembali suram seperti mana teduhnya wajah itu ketika kali pertama aku melihatnya. Dia melontar pandangannya jauh ke luar tingkap. Melayangkan lamunannya jauh tidak bertepian. Mungkin khayalannya sudah menjejak awan puti. Aku biarkan saja dia dengan lamunannya. Makin hebat perasaanku berperang sesama mereka. Bercampur aduk.

Usai bersuai kenal dengan semua pelajar kelas 2 Mawar, aku kembali ke meja di hadapan kelas. Meja guru. Aku melabuhkan punggung ke kerusi. Melepaskan penat seketika. Jam di pergelangan tanganku aku tatap sekali lagi. Lagi 10 minit masa mengajar akan berakhir. Aku kembali bingkas. Berdiri betul-betul di hadapan kelas. Menghadap ke semua pelajar kelas 2 Mawar. Aku menyambung sepatah dua kata sekali lagi sebelum mengakhirkan kelas pertama pada hari itu. Terasa bagaikan masa berlalu begitu pantas. Tidak terkejar olehku.

Aku mengemas barang milikku di atas meja guru. Lalu aku memeluk buku dan file rapat ke dadaku. Ketua kelas berdiri di ikuti semua murid, mengucapkan terima kasih untukku. Aku sekadar senyum dan menganggukkan kepala.

Sebelum melangkah kaki keluar dari bilik darjah, sekali lagi aku mengerling ke arah Siti Khadijah. Dia sedang mengemas buku di atas mejanya. Tidak sedar aku mencuri pandang terhadapnya. Gadis kecil itu, gadis kecil yang telah berjaya mencuri perhatianku. Aku ingin mendekatinya, aku pasti mendekati dia. Aku harus mencari jalan untuk mendekati dia, aku harus! Bisikku di dalam hati.

______________________________________

UPDATE 25 Ogos

Episod 4: Sekeping Hati yang Suci

Aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tanganku sekali lagi. Waktu rehat cuma tinggal 15 minit. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina terlebih dahulu ke kantin setelah aku memberitahu mereka bahawa aku bakal menyusul lagi beberapa minit. Namun sakit senggugut kali ini bukan calang-calang sakit. Aku lansung tidak dapat bangkit dari kerusiku. Dahiku berkerut menahan kesakitan. Peluh menitik dari setiap liang romaku. Aduh!

"Cikgu.." tiba-tiba aku terdengar suara kecil menyapaku dari belakang. Suara seorang kanak-kanak, aku boleh mengagaknya. Dengan lemah aku menoleh ke arah suara itu. Aku terkejut melihat Siti Khadijah berdiri di belakangku. Riak wajahnya seakan risau melihat keadaanku. Aku cuba mengukir senyum.

"Khadijah ada apa jumpa cikgu?" aku mengajukan soalan setelah terpaku beberapa detik. Gadis kecil itu masih lagi pegun di tempatnya berdiri.

"Cikgu sakit ke?" dia tidak menjawab soalanku, malahan menyoal aku semula.

"Cikgu tak makan ubat?" bertalu-talu dia bertanya kepadaku. Aku sekadar tersenyum, kemudian menggelengkan kepala.

"Sakit sikit saja, tak perlu makan ubat, sekejap lagi baiklah.." aku menjawab lemah. Senyuman masih terukir di wajahku, cuba menutup kesakitan agar gadis kecil di hadapanku itu tidak berterusan bimbangkan aku. Setelah melihat aku seola-olah tidak apa-apa, akhirnya dia tersenyum. Dia mungkin lega.

"Cikgu, saya belikan karipap untuk cikgu, ambiklah," ujar gadis kecil itu sambil menghulurkan beg plastik yang terisi dengan karipap. Aku menggeleng kepala, cuba menolak lembut. Aku kagum melihat keprihatinannya. Betapa suci hati seorang gadis kecil, namun aku keberatan untuk menerima karipap itu. Aku tahu dia bukanlah dari keluarga berada, dia lebih memerlukan karipap itu daripada aku.

"Takpe Khadijah, cikgu tak lapar, kamu makanlah.." aku cuba menolak, kata-kata itu terluncur keluar dari bibirku. Gadis kecil itu masih berkeras. Dia masih menghulurkan karipap itu kepadaku, tidak berganjak.

"Cikgu, saya beli karipap tiga. Saya dah makan satu, cikgu ambiklah dua. Saya lalu bilik guru tadi saya nampak cikgu sakit perut, saya takut cikgu lapar," gadis itu berceloteh di hadapan ku. Aku jadi tidak tergamak untuk kecewakan harapannya lalu aku menyambut hulurannya.

"Terima kasih ya, nanti cikgu belanja Khadijah pulak," Aku mengucapkan terima kasih. Dia tersengih memandangku. Mungkin seronok akan dibelanja olehku.

"Cikgu, lain kali kalau cikgu lapar lagi, cikgu jangan risau ye, kalau saya ada duit, saya belikan cikgu kuih," gadis kecil itu berceloteh lagi. Aku sekadar mampu tersenyum. Anak kecil sepertinya bukan tahu kalau pun aku beritahu bahawa aku sakit kerana senggugut. Lalu aku iakan saja. Aku anggukan kepalaku.

"Loceng dah nak bunyi dah..." aku mengingatkan gadis kecil itu setelah menatap jam di dinding bilik guru. Dia ikut sama memandang jam yang terlekat di dinding itu.

"Saya pergi dulu ya cikgu!" dia meminta diri lalu berlari keluar dari bilik guru. Hatiku tercuit melihat telatah gadis kecil itu. Hilang kisah sakit senggugutku. Melayan gelagat gadis kecil itu bagai penawar yang paling mujarab. Saraf-saraf kesakitanku kini berhenti menghantar isyarat ke otak. Sakit itu sudah tiada. Aku mengucapkan syukur kepada Ilahi di dalam hati. Sejenak kemudian, aku teringat karipap di tanganku. Sekali lagi aku tersenyum.


Sudah sebulan aku di sini. Aku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana mempermudahkan segala urusanku sepanjang keberadaan aku di sekolah ini. Allah Maha Mengetahui, Dia memberikan dugaan hanya kepada hamba-Nya yang benar-benar mampu memikulnya. Dan Allah juga tahu bagaimana gejolak perasaanku. Dia tahu segala yang telah aku lalui dan Dia juga tahu apa yang bakal aku tempuhi. Hanya kepada Dia aku berserah dan memohon. Hanya daripada Dia aku meminta pertolongan. Sesungguhnya aku mengaku, aku bukanlah hamba yang sempurna. Aku juga banyak melakukan khilaf. Hanya kepada Dia aku mengadu dan memohon keampunan.

Suasana bilik guru yang sunyi kini kembali riuh, guru-guru kini kembali ke meja masing-masing setelah selesai menjamu selera. Waktu rehat sudah berakhir. Dari jauh aku melihat Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina berjalan menuju ke arahku. Dari kejauhan aku dapat melihat riak wajah mereka, seolah-olah sarat dengan pertanyaan. Aku bersedia menghadapi mereka. Aku boleh mengagak apa soalan yang bakal ditanya. Aku melemparkan senyuman ke arah mereka. Terbit juga rasa kesal kerana mungkir janji dengan mereka berdua. Mungkin mereka lama menanti kehadiran aku di kantin. Memang aku bersalah kerana tidak menunaikan janji, tapi apakan daya, aku juga tidak bermaya.

Sepintas lalu aku teringatkan karipap di tanganku yang masih belum sempat aku jamah. Sekali lagi gelagat si gadis kecil menerjah fikiranku. Hatiku tercuit mengenangkan dia, aku tergelak kecil sendirian. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina kini berdiri tepat di hadapanku. Kehairanan barangkali melihat aku tersengih sendirian. Belum sempat mereka mengajukan soalan, aku terlebih dahulu meminta maaf. Lalu aku memaklumkan apa yang terjadi sebentar tadi. Mereka berdua jelas risaukan keadaanku namun dengan segera aku memaklumkan kepada mereka bahawa aku kini sudah tidak sakit lagi.

"Jangan risau, saya tidak apa-apa, dah okey dah.." berkali-kali aku menjelaskan, namun mereka berdua masih lagi risaukan aku.

"Betul ni awak okey? Dah makan 'pain killer' ke?" Cikgu Marlina bertanya lagi.

"Dah.. gadis kecil 'pain killer' saya!" aku menjawab kemudian tergelak. Gelihati melihat wajah kedua-dua guru di hadapanku yang kehairanan semacam lagaknya. Dahi mereka berkerut, mulut mereka terbuka sedikit. Sungguh aku tidak mampu menahan gelak, di situ juga ketawaku berderai.

----------------------------------------------------

UPDATE : 29 Ogos 2009

Episod 5: Hilang Di Mata


Suara unggas memeriahkan suasana malam. Irama yang jauh berbeza dengan keadaan di tempat tinggalku di kota besar, deruman enjin kenderaan memenuhi setiap ruang masa. Di desa ini aku berasa damai. Jiwaku tenang. Aku mengatur langkah menuju ke arah tingkap bilikku. Daun tingkap aku kuak perlahan, serentak itu aku dapat rasakan angin malam menyentuh pipiku. Dingin.


Malam ini bulan mengambang penuh. Indah. Spontan bibirku melafazkan Subhanallah. Aku masih berdiri di jendela, melontar pandangan jauh ke langit. Bulan itu cantik namun entah kenapa aku tetap jua mencari bintang-bintang. Sejak aku kanak-kanak, aku sangat gemar merenung langit, mencari bintang. Mengira bintang. Hinggalah akhirnya aku mengenal buruj, membuak-buak cita-citaku untuk menjadi seorang astronomer. Teringat kenangan silam membuatkan aku tersenyum sendirian. Membayangkan teleskop di sekolah lama dan kenangan bersama teman-teman lama. Indahnya zaman kanak-kanak.


Bagai tersedar dari lamunan, aku tiba-tiba teringatkan si gadis kecil, Siti Khadijah. Pernah suatu pagi dia memuji aku. Wajahnya berseri-seri. Katanya aku cantik, aku lawa kerana aku bertudung labuh. Dia juga ingin memakai tudung ke sekolah sama sepertiku, malangnya emak dan ayahnya tidak mampu membelikannya tudung. Teringatkan sesuatu lansung membuat aku terus menutup tingkap. Aku selak tingkap itu rapi. Tergesa-gesa aku berlalu, ingin melihat sekali lagi tudung yang telah aku belikan untuk gadis kecil itu.


Aku membelek-belek sehelai kain tudung putih di atas ribaanku yang aku beli di Bandar Kota Bharu sebaik sahaja pulang dari sekolah siang tadi. Aku ingin hadiahkan tudung ini kepada seseorang yang istimewa. Tidak sabar rasanya menunggu hari esok tiba. Agar aku dapat bertemu dengan gadis kecil itu, agar aku dapat memberikan tudung putih ini kepadanya. Kain tudung itu aku lipat rapi kemudian memasukkanya semula ke dalam beg kertas. Aku harus tidue segera agar masa berlalu tidak terasa lama.


----------------------------------------------------------------


Aku tiba di sekolah awal pagi. Orang pertama yang tiba setelah Pak Mamat jaga sekolah membuka kunci pagar. Aku menanti seseorang. Tidak sabar bertemu dengannya. Seorang demi seorang murid sekolah melintas pintu pagar, kini kian ramai. Namun bayang-bayang si gadis kecil tetap juga tidak menjelma. Sudah setengah jam aku menanti di bangku cokelat, namun dia tetap juga tidak menampakkan wajah.

Loceng sekolah berdering nyaring. Pintu pagar ditutup menandakan waktu pembelajaran sudah bermula. Aku sedar penantianku pagi ini tidak membuahkan hasil. Aku bingkas bangun. Aku tidak boleh terus menunggu kerana aku juga ada tugas yang perlu aku laksanakan. Aku mengorak langkah, menuju ke bilik guru. Aku kecewa namun masih berharap dapat dia tetap akan hadir ke sekolah walaupun lewat sedikit. Jam 9 nanti giliran aku mengajar kelas 2 Mawar, aku berdoa mudah-mudahan dapat melihat dia duduk di kerusinya. Amin.

--------------------------------------------------------------------

UPDATE 4 September 2009

Episod Enam: Terbongkar Rahsia


Hari ini aku tunaikan solat zuhur di surau sekolah. Aku tidak pulang terus ke rumah kerana ada destinasi lain yang ingin ku tuju. Beberapa minit sebelum azan berkumandang, aku siap berwudhuk, menyarung telekung putih yang dihadiahkan oleh arwah ayah ketika ulangtahun kelahiranku 3 tahun lepas. Agak usang, namun aku amat gemar menggunakan telekung ini. Sementara menanti tibanya waktu zuhur, aku mencapai senaskah Quran di atas rak. Masih kelihatan baru, mungkin kerana ianya sangat jarang digunakan. Aku menyelak lembaran Quran itu lalu terus ke surah Ar-Rahman. Aku mulakan bacaan dengan membaca ummul kitab, Al-Fatuhah.

Selesai memberi salam, aku menadah tangan, merendah diri memohon doa kepada Allah Yang Esa. Banyak yang aku adukan. Banyak juga yang aku pinta. Sesungguhnya hanya kepada Dia aku berserah dan bergantung harap. Aku tak lupa mendoakan arwah ayah, ibu, dan seluruh muslimin dan muslimat. Dalam doaku juga aku tidak lupa untuk hadiahkan doa buat gadis kecil. Sungguh aku bimbang akan dia. Hari ini sudah masuk tiga hari dia tidak datang ke sekolah. Aku penasaran ingin tahu keadaannya bagaimana.

Hari ini aku nekad, sebaik sahaja tamat waktu persekolahan, aku ingin menjenguknya di terataknya. Ketika di dalam kelas pagi tadi, aku sempat bertanya rakan sekelasnya mana letaknya rumah Siti Khadijah si gadis kecil. Alhamdulillah, ada juga yang dapat membantu. Aku panjatkan syukur kepada Ilahi.

--------------------------------------------

" Saya Cikgu Nora, Khadijah ada?" Aku bertanya kepada seorang anak kecil sebaik sahaja tiba di teratak usang itu. Puas aku memberi salam, memanggil dari luar, tiada siapa yg keluar kecuali seorang anak kecil tidak berbaju, dalam lingkungan usia 5 tahun. Anak kecil itu menggelengkan kepalanya. Aku juga tidak pasti samada dia benar-benar memahami soalan aku atau tidak.

"Mak ada?" Aku bertanya lagi setelah beberapa ketika berdiri di situ. Anak kecil itu berlari masuk ke dalam rumahnya semula. Dari luar aku mendengar suara kecilnya memanggil ibunya. Aku masih setia menanti di situ. Beberapa minit kemudian anak kecil itu kembali lagi berdiri di muka pintu rumah.

"Mak atiq, mak yuh acuk," Anak kecil itu memaklumkan sesuatu padaku. Masih pelat, tapi aku dapat memahaminya. Aku mengerti, lalu mengatur langkah, memanjat tangga kayu dengan hati-hati. Rumah ini agak usang. Sayu aku melihatnya. Bertambah hiba hatiku melihat seorang wanita sedang terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah. Wajahnya cengkung, badannya kurus. Hanya tinggal tulang dan kulit. Aku nyaris menitiskan air mata simpati, namun ku tahan semampu aku.

Aku menghulurkan tangan, bersalam dengan tuan rumah. Wanita itu kelihatan sungguh lemah untuk menyambut salamku, tangannya menggigil. Namun dia masih menghadiahkan aku senyuman yang penuh dengan keikhlasan, iras benar dengan senyuman Siti Khadijah. Mana lagi tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Teringatkan Siti Khadijah, aku makin tertanya-tanya. Sudah hampir setengah jam aku di situ namun bayangnya tetap juga tidak muncul.

"Khadijah mana yer? Dari tadi saya tak nampak dia pun.." aku memberanikan diri untuk bertanya. Riak wajah wanita itu menjadi kian sayu. Matanya bergenang air mata. Dia memalingkan wajahnya, melontarkan pandangan jauh entah ke mana. Diam. Aku juga ikut diam, tidak berani untuk bertanya lagi, bimbang menambah racun pada luka yang masih berdarah.

Walaupun jantungku berdegup agak kencang kerana perasaan ingin tahu membuak-buak, namun aku mengunci bibir. Biarkan dia melayani melankoli hatinya, dan aku memujuk hatiku sendiri. Pasti ada jawapannya. Aku optimis. Bersabarlah Nora Asyikin.

--------------------------

UPDATE 7 Sept 2009

Episod Tujuh: Takdir yang Tertulis


Aku sendiri tidak tahu kenapa, di teratak usang ini mudah benar hatiku tersentuh. Dalam hingga ke dasar lubuk hati. Anak kecil tidak berbaju tadi pastinya belum mengerti apa-apa. Saat ibunya berlinangan airmata, dan aku juga, dia bagaikan sedang asyik di alam lain. Sedang mengira biji-biji getah di satu sudut rumah. Kadang-kadang dia ketawa dan ada masanya merungut sendirian. Indahnya dunia seorang kanak-kanak yang belum mengenal erti kehidupan. Ah..

Aku kesat sisa airmata yang berbaki di kedua belah pipiku. Ibu Siti Khadijah juga begitu. Hatiku sayu tidak tertanggung mendengar cerita si ibu yang sedang terbaring sakit. Cerita tentang mereka sekeluarga, terkandung di dalamnya penderitaan yang ditanggung oleh anak-anak yatim itu. Memilukan. Sudah suratan takdir yang tertulis buat mereka sekeluarga, moga mereka tabah mengharungi, dalam hati aku panjatkan doa kepada Ilahi.

Kini aku kian mengerti mengapa gadis kecil itu sering saja termenung dan mengasingkan diri. Dalam diam, aku kian mengkagumi gadis kecil itu, tubuhnya saja kecil tapi jiwanya cekal, kental, semangatnya besar, mungkin lebih besar dari aku. Di dalam kelas akulah guru, namun kini, gadis kecil itu pula yang mengajar aku erti ketabahan yang sebenar. Dia juga guruku. Dalam diam aku memuji.

Setelah berbasa-basi, aku meminta diri untuk pulang. Sebelum terus pulang ke rumah sewa, aku ingin bertemu gadis kecil. Aku ingin menyampaikan sesuatu kepadanya. Aku ingin tahu bagaimana keadaan dirinya. Aku ingin melihat dia. Atau mungkin, aku rindu kepada gadis kecil itu. Segalanya mungkin kerana di sekolah ini, dialah murid yang paling rapat denganku. Pilih kasihkah aku? Ya Allah.. ampunkanlah dosaku.

Ibu Siti Khadijah izinkan aku bertemu anaknya. Aku bertanya bagaimana ke sana, dia menjawab senang. Aku berterima kasih lalu meminta diri. Wanita lemah tidak bermaya itu cuma mampu menghantar aku pulang dengan lirikan matanya. Aku tidak berkecil hati kerana aku benar-benar memahami keuzurannya. Hari ini mungkin harinya, nasib aku kemudian hari hanya Allah yang tahu.

Aku mengatur langkah berhati-hati. Risau juga andai terpijak papan reput. Anak kecil tidak berbaju mengekori aku dari belakang, menghantar aku hingga ke muka pintu, ketika dia menyalami aku, aku hulurkan dia sekeping duit kertas, aku katakan padanya, buat beli jajan. Mulanya dia segan untuk menerima namun setelah aku bersungguh-sungguh menghulur, dengan malu-malu dia mengambilnya.

Dia tersengih menampakkan giginya yang rongak. Dia gembira. Aku juga turut merasai kebahagiaannya itu, erti hidup pada yang memberi. Benarlah, tangan yang memberi itu jauh lebih baik dari tangan yang menerima. Bahagia yang aku rasai meresap ke seluruh jiwaku. Besar hikmahnya pada mereka yang mengeluarkan hartanya kerana Allah, rukun Islam ke empat juga mewajibkan umat Islam yang berkemampuan menunaikan zakat, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Aku tersenyum senang, menampakkan barisan gigiku yang tidak rongak tetapi putih tersusun lalu terus mengatur langkah. Aku ingin bertemu gadis kecil. Biarpun sekejap cuma. Aku ingin melihat sendiri dengan mata kepalaku bagaimana dia memerah keringat. Aku masuk ke dalam kereta. Sebaik sahaja aku menutup pintu kereta, anak kecil tidak berbaju itu melambai-lambai ke arahku, lambaian selamat tinggal barangkali. Aku melambai kepadanya kembali, aku masih lagi tersenyum, namun hatiku pilu.

----------------------------------

Setelah berjalan lebih kurang lima minit, aku tiba di kawasan sawah bendang. Sayup mata memandang. Mana mungkin untuk aku meredah setiap batas. Mencari gadis kecil itu di setiap penjuru bendang yang luas itu. Aku juga tidak tahu harus bermula dari mana. Terik matahari masih lagi memancarkan sinarnya. Bahangnya sudah terasa menggigit kulitku, namun demi Siti Khadijah, aku masih lagi berdiri di situ. Mencari jalan, memikirkan cara.

"Pakcik.. Pakcik! Assalamualaikum, boleh saya tumpang tanya, pakcik tahu tak mana anak arwah Pakcik Ibrahim berada sekarang?" Aku bertanya kepada seorang petani tua yang kebetulan melintas di hadapanku. Ini petani ketiga yang aku sapa setelah dua orang petani yang aku tanya sebelum ini tidak dapat membantu apa-apa.

"Waalaikumsalam..oh.. budak-budak tu.. tadi pakcik ada nampak mereka masa memindahkan anak padi.. kamu lalu ikut sini.. sampai nampak pohon kelapa kamu belok kanan..dari jauh kalau kamu nampak 3 orang budak dalam bendang,hah, itulah mereka.." petani itu menunjukkan arah kepadaku sambil tangannya digayakan ala-ala polis trafik. Aku sekadar mengangguk-anggukan kepala, sebagai tanda aku mengerti. Aku berterima kasih kepadanya.

"Kamu ni sape?" Petani itu mengusul pula. Aku tersenyum.

"Saya cikgu dia.." Aku menjawab, masih tersenyum.

"Oh cikgu.. bagaimana budak-budak tu kat sekolah? kasihan juga pakcik tengok mereka, kecik-kecik lagi dah kena turun sawah.." Petani itu menyambung lagi. Raut wajahnya mempamerkan rasa simpati itu. Aku tunduk ke tanah. Diam beberapa ketika mencari ayat yang paling sesuai. Aku juga simpati.

----------------------------------

Ini kali pertama aku turun ke bendang. Aku meniti setiap batas dengan hati-hati. Ada batas yang elok dan ada juga yang tidak. Kakiku sudah bersalut selut hingga ke paras betis. Aku gagahkan jua langkahku mencari sebuah destinasi dalam panas terik mentari. Peluh mula membasahi dahiku, namun sedikit pun tidak mematahkan semangatku. Aku terus mara.

Setelah 17 minit meredah bendang, akhirnya dari jauh aku dapat melihat 3 orang kanak-kanak seperti yang diberitahu oleh petani tua sekejap tadi. Aku tersenyum. Pencarianku membuahkan hasil. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Tuhan, sebelum sempat aku berputus asa, Kau berikan aku kejayaan. Aku mempercepatkan lagi langkah kakiku. Destinasi itu kian hampir, aku kian bersemangat.

"Assalamualaikum!" aku meninggikan sedikit suaraku, memberi salam setelah sampai ke petak sawah mereka. Mereka sedang asyik bekerja hinggakan kehadiranku tidak disedari lansung. Mendengar salamku barulah mereka menoleh ke arahku. Gadis kecil itu juga memandang ke arahku. Riak wajahnya mengelirukan, terlalu sukar untuk aku membacanya saat itu. Oh Tuhan, adakah aku tersilap langkah? Adakah kehadiranku tidak disenangi? Harus bagaimana aku memperbetulkan keadaan, berikan aku petunjuk-Mu Tuhan.

----------------------

Episod Lapan : Bertemu untuk Berpisah. [Episod Akhir]

"Khadijah! Jangan lari!" Aku memanggil sebaik sahaja melihat Siti Khadijah mempercepatkan langkah, ingin keluar dari bendang. Siti Khadijah teragak-agak, tidak mahu toleh ke belakang.

"Khadijah, cikgu bukan nak marah kamu.." Aku cuba memujuk lagi. Aku bersyukur kerana akhirnya dia mematikan langkahnya. Dia menoleh ke arahku, aku menghadiahkannya sekuntum senyuman istimewa buatnya.

"Betul cikgu tak marah? Saya dah tiga hari tak pergi sekolah.." Tanya Siti Khadijah lagi, inginkan kepastian, ternyata, dia juga sedar akan kesalahannya. Aku senyum dan anggukkan kepala..

"Betul, cikgu tak marah, cikgu ada hadiah untuk Siti Khadijah," Ujarku sambil menghulurkan sesuatu kepadanya. Dia tersengih-sengih menghampiri aku. Malu-malu.

"Ambiklaa.. hari tu Khadijah hadiahkan cikgu kuih, sekarang cikgu pula bagi hadiah untuk Khadijah, ambiklah," Pujuk ku setelah melihat dia masih ragu.

"Terima kasih, cikgu," ucapan keramat dari seorang murid buat sang guru. Aku senang mendengarnya.

"Tudung baru!! Wah.. seronoknya!! terima kasih cikgu, saya suka tudung nih, dah lama nak tudung tapi mak tak beli, mak takde duit.."Khadijah girang, melompat-lompat di atas batas, sungguh aku terhibur melihat gelagatnya. Maha Suci Allah.

"Esok pergi sekolah tahu.. pakai tudung baru, pasal yuran yang belum di bayar jangan risau ye, nanti cikgu bincang dengan guru besar..yang penting Khadijah, kakak dan adik belajar, ilmu tu penting..untuk kita dunia dan akhirat.."Aku memujuk senang.

"Baik cikgu! esok saya pergi sekolah.. nak pakai tudung baru..seronoknya kak.. Mael.. tengok ni, orang ada tudung baru, yeay yeay!" Dia masih kegirangan, bersemangat!

Ya Allah, moga kebahagiaan milik si gadis kecil itu akan terus berkekalan, dia masih kecil, jalan hidupnya masih jauh, moga Kau ringankanlah bebanannya Ya Allah, moga Kau jadikan dia hamba-Mu yang solehah, moga dia bahagia dunia dan akhirat.

----------------------------------

Hujan turun dengan lebat sejak subuh tadi. Fenomena biasa di musim tengkujuh. Entah kenapa, hatiku sering hiba tatkala hujan turun mencurah-curah. Kali ini perasaan sayu itu sungguh hebat, desak nafasku bagaikan menghimpit. Aku kegelisahan. Jam sudah menunjukkan jam 9.45 pagi, waktu menjagar kelas 2 Mawar juga sudah hampir tamat. Kerusi milik Siti Khadijah tidak berpenghuni, dia tidak hadir. Semalam dia berjanji akan datang ke sekolah hari ini, memakai tudung baru, tapi di manakah dia? Aku benar-benar resah.

Waktu mengajar sudah selesai. Aku mengemas buku milikku lalu kembali ke bilik guru. Sebaik sahaja tiba, aku lihat suasana kecoh di dalam bilik guru. Tidak semena-mena, jantungku berdegup kencang. Aku percepatkan langkah, menghampiri kelompok guru yang sedang berbincang. Atau mungkin berbicara. Atau mungkin, ah, aku sudah tidak mampu berfikir lagi, aku benar-benar resah. Dari jauh aku mendengar mereka menyebut nama Siti Khadijah, gadis kecil yang mencuri hatiku. Darahku mengalir kian laju.

"Cikgu, ada apa?" tanpa salam aku terus bertanya.

"Siti Khadijah, pelajar kelas 2 Mawar, jatuh dalam tali air pagi tadi masa nak datang sekolah.." Suatu suara menjawab pertanyaanku, lututku bagai lemah longlai. Laju saja airmata mengalir dari ke dua kelopak mataku. Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari keluar dari bilik guru, wajah si gadis kecil bermain-main di layar fikiranku. Hanya dia.

---------------------------------------

Sebaik tiba di tali air, tidak jauh dari sekolah, bagaikan pesta sedang berlansung. Ramai orang berkumpul sepanjang tali air. Hatiku kecut sekali. Sungguh aku tidak cukup tabah untuk menerima kenyataan bahawa aku akan kehilangan dia untuk selamanya. Sungguh aku tidak cukup kental untuk melepaskan dia pergi untuk selamanya. Sungguh aku cuma hamba yang lemah, ya Tuhan, selamatkanlah Siti Khadijah.

Dengan langkah yang longlai, aku tabahkan hati menghampiri kelompok orang ramai. Aku dapat melihat kakak dan adik Siti Khadijah sedang menangis berpelukan di pinggir tali air. Suasana hiba dan riuh. Tanpa perlu bertanya, aku dengar mereka berbisik sesama mereka. Mayatnya belum dijumpai.

Beberapa barang miliknya sudah ditemui, tapi tidak jasadnya. Aku amati barang yang dijumpai. Sepasang kasut yang koyak rabak, aku tahu itu benar-benar milik gadis kecil, airmataku kian meluncur laju. Di sisi kasut koyak usang itu letaknya sehelai tudung putih yang masih baru, aku juga kenal tudung itu, pemberianku buat si gadis kecil. Ya Allah..Tabahkanlah hatiku ya Allah, selamatkanlah Siti Khadijah.. dalam hati aku masih berdoa, airmataku gugur bersatu dengan lebatnya hujan yang turun.

"Dah jumpa, mayat dah jumpa!" suara itu bagaikan petir menikam ke jantungku. Tiba-tiba suasana kembali riuh. Orang ramai menghurungi punca datangnya suara. Aku menyaksikan dengan kedua mataku, mereka mengusung sekujur jasad yang kaku, tidak lagi bernyawa..

Ya Allah.. Alam bagaikan gelap gelita, aku rebah jatuh ke bumi.

Innalillahiwainnailaihirajiun..

No comments:

Post a Comment