Monday, September 21, 2009

ikhtilat

Persoalan mungkin, ikhtilat antara IKHWAH dan AKHAWAT, bagaimana dengan kita? Terkadang saya berfikir sendiri, wajarkah isu ini dibangkitkan atau saya akan hanya dikata orang sebagai ketinggalan. Saya sedar sekian ramai yang telah pun tahu dan faham benar akan persoalan ini namun otak saya tetap berkeras mahu membekaskan tulisan atas tajuk ini. Harapan saya hanyalah satu, sebagai satu perkongsian.

Seseorang lelaki mahupun wanita itu hendaklah apabila telah cukup ilmu dan fahamnya tentang agama Islam, sementelah mereka yang terlibatnya di dalam dakwah haruslah menjaga dan memastikan dirinya jauh daripada ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.

Ikhtilat ataupun percampuran antara lelaki dan perempuan selayaknya dilihat sebagai sesuatu yang besar impaknya kepada keruntuhan moral ummah. Sering kita dengar istilah kawan, adik-kakak-abang angkat mahupun tidak alah juga yang mendakwa sebagai rakan chatting atau apa jua istilah yang diguna sebagai merujuk kepada hubungan kemasyarakatan.

Justeru saya klasifikasikan hubungan mahupun ikhtilat antara dua jenis jantina ini sebagaimana berikut :
1. Hubungan lelaki dan perempuan atas nama cinta.

2. Hubungan lelaki dan perempuan atas nama sahabat, kawan atau adik-abang-kakak angkat. Istilahnya sebagaimana yang ditakrifkan oleh Dr Haji Mohd Fadhilah Kamsah sebagai ‘Platonik’.

Hubungan Cinta

Pada hakikatnya mana mungkin perkataan cinta penuh ghairah nafsu boleh hadir tanpa suatu yang bernama akad. Selalu sangat kita dengar ungkapan ‘i love u’ atau yang lebih islamik sikit mengungkapkan kalimah cinta dengan ‘Ana uhibbuka/ki fillah’.

Ungkapan pertama mungkin hasil didikan barat dan saya yakin ramai dikalangan kita samada islamic student mahupun mereka yang ada kesedaran agama jarang sekali terlibat dengan benda sebegini.

Namun saya gusar bila terkadang mendengar ungkapan yang disaran oleh Nabi SAW digunakan dalam menzahirkan kasih sayang atas nama ukhuwah islamiah disalah guna. Unjuran nabi agar perkataan ‘Ana uhubbuka/ki fillah’ digunakan sesama jantina agar ikatan kasih sayang atau ukhuwwah islamiah disemarakkan kerana irtibat dengan ribatan iman dan Islam adalah kemuncak hubungan selain daripada hubungan kekeluargaan.

Namun hari ini saya melihat ramai yang menangguk di air keruh apabila mengistinbatkan unjuran tersebut hingga membibitkan rasa gahirah cinta antara lain jantina.

Pepatah arab ada menyebut ;

Mula-mula saling pandang memandang, kemudian melirik senyum seterusnya berani mengungkap kata “Hai assalamualaikum, boleh berkenalan” dan akhirnya temu-janji dibuat.

Platonik

Hubungan jenis ini sebenarnya lagi bahaya kerana sifatnya yang tersembunyi dan terselindung disebalik istilah hubungan kawan, adik angkat dan abang/kakak angkat atau apa jua hubungan yang langsung tidak melibatkan perasaan cinta pada awalnya.

Sejak sekian lama saya memerhati dan membuat analisa berkenaan dengan hubungan ini hinggalah akhirnya saya menjumpai istilah yang membezakannya dengan hubungan cinta biasa. Kesimpulan yang saya jumpai menunjukkan bahawa hubungan ini juga adalah tidak syarie dalam Islam. Islam amat menitik beratkan soal hubungan ikhtilah antara lelaki dan perempuan sebagai langkah ikhtiat agar kelangsungan ummah tidak dicelarukan.

Dalam Maqasid Syariyyah ada disebutkan antara 5 kewajipan manusia yang seharusnya dijaga dan diberi perhatian adalah menjaga nasab dan keturunan. Justeru mana mungkin lelaki dan perempuan yang diharamkan oleh agama untuk berikhtilat dalam erti kata samada berhubung rapat penuh nafsu atau persahabatan dan ber’angkat’ kononya langsung tiada rasa cinta dihalalkan oleh selera dan nafsu kita. Bukankan hidup bertunjangkan syariat dan agama adalah selamat dan yang pasti akan membawa bahagia di dunia dan di akhirat.

Namun ini bukanlah bermaksud antara lelaki dan perempuan langsung tiada ruang komunikasi. Islam adalah agama yang mudah-memudah dan seharusnya relatif dengan tabie manusia. Islam meletakkan keharusan dalam muamalah dan hubungan kemasyarakatan antara lelaki dan perempuan dengan di sana juga diletakkan seiring batasan syariat. Ia bukalah sesusah dan sepayah apa yang digegak gempitakan oleh barat mentohmah dan memaparkan kejumudan ajaran Islam mengikut definisi keji mereka dalam soal ini. Batas yang digariskan bukanlah sesuatu yang sukar dilaksanakan tapi sebenarnya ia adalah langkah selamat ke arah menjamin keselesaan dan keselamtan ummah.

Pelanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana :

1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.
2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.
3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.
4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai.

Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol font Islam, namun lupa substans Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak menfokuskan kepada pemahaman dan amal.

Pelanggaran batas-batas pergaulan Ikhwah dan Akhawat masa kini


1. Tidak Menundukkan Pandangan (Gadhdhul Bashar)

Bukankah ada pepatah yang mengatakan, “Dari mana datangnya cinta? Dari mata turun ke hati”. Maka jangan kita ikuti seruan yang mengatakan, “Ah, tidak perlu gadhdhul bashar, yang penting kena jaga hati!”.

Namun, bukanlah menunduk pandangan sehingga terlanggar tiang tetapi cukup sekadar kita memastikan pandangan kita terjaga daripada melihat sesuatu yang tidak syarie. Lelaki memandang wanita dengan penuh nafsu dan tidak alah juga wanita yang berkelakuan demikian walau tampil ‘warak berbungkus’.

2. Couple

Duduk berdua di taman-taman, kedai-kedai makan, berjaan berdua malah ada yang lebih licik dengan menggunakan platform rasmi yang bernama ‘meeting’ di tempat-tempat yang mencurigakan bagi yang terlibat dengan persatuan mahasiswa. Walaupun kebanyakan masyarakat sekitar tidak mempedulikan tindakan sebegini kerana menganggap mahasiswa/i berpendidikan yang berdua-duaan ini sedang berdiskusi tentang pelajaran atau tugas, namun apapun alasannya, maka menutup pintu fitnah ini adalah langkah terbaik dan wajib bagi kita.

Sememangnya masyarakat kian dirosakkan dengan istilah ‘jangan jaga tepi kain orang’. Inilah suatu racun yang sedang merosak dan menghancurkan fikrah ummah. Sudah tida lagi ungkapan amar makruf nahi mungkar dikalnagn masyarakat hingga menyebabkan anak-anak muda denagn sewenangnya berdua-duaan.

3. “Cop awal-awal” Untuk Berkahwin

“Bagaimana enti? Tapi tiga tahun lagi baru kita kahwin. Ana takut enti diambil orang.” Ikhwah belum tamat belajar sehingga ‘cop’ seorang akhwat untuk menikah kerana takut kehilangan, padahal belum pasti hasrat itu akan tercapai. Hal ini sangatlah berisiko dan boleh mendatangkan permusuhan dan perpecahan bukan setakat semasa belajar, malah akan berlanjutan ke tanah air hingga melibatkan keluarga.

Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam sendiri melarang kita daripada ‘cop awal’ atau bertunang terlalu lama. Dengan kata mudah ‘kalau rasa diri sudah berpunya dan serius dalam hubungan, eloklah dipercepatkan urusan akad antara kedua-duanya takut-takut terjerumus ke kancah maksiat.

Justeru, mana mungkin hubungan suci suami-isteri akan terbina kekal di atas timbunan sampah kemaksiatan.

4. Telefon Tidak ‘Urgent’

Menelefon dan berborak tidak tentu arah, yang tidak ada nilai significantnya sama ada soal pengajian mahupun soal tugas berpersatuan. Kalau setakat bertanya khabar, bercakap soal hati dan perasaan atau apa sahaja yang bersifat tidak syarie tanpa batas, saya gusar apa akan kita jawab di hadapan Allah nanti.

Apa yang lebih malang, kita selaku daie, ulamak dan taruhan masyarakat di tanah air sebagai benteng terakhir umat Islam yang membawa mandat besar selaku agen pengubah masyarakat, harus menunjukkan teladan dan nama yang baik dengan mengenepikan sebarang salah laku.

5. SMS Tidak ‘Urgent’

Saling berchatting via SMS mengenai hal-hal yang tak ada kaitannya dengan dakwah mahupun urusan penting, sampai tak sedar kredit dah habis. Sudah tiba masanya kita matang dan bermuhasabah dengan kehadiran teknologi yang sudah sekian lama kita nikmati. SMS tidak sepatutnya dijadikan medan melampiaskan nafsu serakah dengan berabang-sayang tapi sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih murni dan berfaedah untuk menempah tiket ke syurga Allah Subhanahu Wataala.

6. Berbicara Mendayu-Dayu

Bercakap sambil tertawa kecil dan terdengar sedikit manja. Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang perempuan daripada bercakap dengan suara yang mendayu-dayu dan dibuat-buat untuk menarik perhatian lelaki.

Jadilah wanita yang bermaruah dengan sedikit bertegas bila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Si lelaki pula, jadilah mukmin yang ‘gentleman’ dengan menghormati perempuan mukminat. Hormat dalam erti kata menjaga dan memelihara maruah kaum hawa yang bakal menjadi tempat letaknya zuriat kita, penerus generasi beragama masa depan.

7. Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’

Laman YM adalah termasuk satu kemudahan. Tidaklah berdosa bila ingin menyampaikan hal-hal penting di sini. Namun menjadi bermasalah bila topik perbicaraan melebar entah ke mana dan tidak menfokuskan kepada dakwah kerana khalwat secara maya mudah untuk berlaku.

Firman Allah Subhanahu waatala dan hadis berkaitan larangan terhadap isu ini adalah :


a. Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka jangan sekali-kali dia bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak bersama mahramnya, kerana yang ketiganya ialah syaitan.” (HR.Ahmad)

b. Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Katakanlah kepada orang lelaki yang beriman, ‘hendaknya mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan mereka’(Al-Qasas.24: 30)

c. Allah SWT berfirman yang bermaksud,

“Katakanlah kepada wanita yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangan, dan memelihara kemaluan mereka”.(Al-Qasas.24: 31)

d. Rasulullah SAW. Bersabda yang bermaksud,

“Pandangan mata adalah salah satu daripada panah-panah iblis, barangsiapa menundukkannya kerana Allah, maka akan dirasakan manisnya iman dalam hatinya”.

e. Rasulullah SAW. bersabda,

“Wahai Ali, janganlah engkau ikuti pandangan yang satu dengan pandangan yang lain. Engkau hanya boleh melakukan pandangan yang pertama, sedang pandangan yang kedua adalah risiko bagimu”. (HR Ahmad)f. “… maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya…” (Al Ahzab: 32)

Tuntasnya, persoalan ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau ‘ikhtilat’ di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa.

Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan harian mereka dengan kaum Adam. Ini kerana ‘ikhtilat’ yang melanggar batas-batas syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.

Justeru, sebenarnya langsung tidak timbul soal seksisnya kaum Adam dalam menghukum Hawa, tapi yang pasti Islam mengajar kita untuk berdepan dengan masalah dengan menggunakan ukuran kapasiti diri selaku manusia.

Nah, masuk akal jika kita katakan perempuan yang dilebihkan oleh Allah dalam soal menjaga maruah dan harga diri sepatutnya lebih peka dan sensitif dengan masalah ini. Namun ini tidak bermakna lelaki boleh berbuat sesuka hati. Selaku lelaki yang sifatnya dikuatkan oleh Allah dalam segala hal, sepatutnya tidak terjerlus ke lembah becak kemaksiatan.

Jadilah lelaki yang mampu membela dan memimpin kaum Hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga. Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama-sama memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka.

Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama? Jangan sampai suatu masa nanti anak cucu kita mentertawakan dan menghukum kita lantaran salah laku yang kita lakukan hari ini.

Salam Thohirin & Tawwabin

>maklumat diperoleh dr blog orang lain, harap dpat memberi manfaat kepada semua...<

Saturday, September 19, 2009

cEriTa sEdiH

-------------------------------------




Episod Satu: Pertemuan Pertama

Februari 1990

Jam menunjukkan pukul 7 pagi. Aku benar-benar pasti kerana berkali-kali aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tangan kiriku. Hari ini, aku rasakan jarum panjang dan pendek itu bergerak begitu perlahan. Terkedek-kedek. Ah~!! Mungkin aku dalam keresahan, resah menantikan sebarang kemungkinan yang bakal terjadi pada hari pertamaku ini.

Aku mengatur langkah kakiku menuju masuk ke kawasan sekolah dengan sejuta satu rasa yang bercampur baur. Hari ini hari pertama aku di sini. Bertugas sebagai seorang guru praktikal di sebuah sekolah yang agak terpencil. Sekolah ini cuma ada tiga buah bangunan. Dua bangunan lama setingkat dan satu bangunan baru 4 tingkat yang sememangnya baru disiapkan. Mungkin hadiah daripada kerajaan negeri kerana pilihanraya baru sahaja berlangsung. Aku tersenyum sendirian.

Aku tersenyum lagi melihat sebuah kolam yang letakknya berhampiran pintu pagar sekolah. Di sekelilingnya terhias pohon-pohon rendang. Juga terdapat air terjun yang mengalir tanpa henti. Panorama indah itu sedikit sebanyak mampu memujuk hatiku yang resah. Aku tersenyum lagi. Segala puji hanya bagi-Mu Allah.

Suasana masih sunyi namun kian menjadi hingar. Beberapa orang murid mulai mengisi ruang sekolah. Ada yang memandang aku kehairanan, mungkin aku terlalu asing bagi mereka. Aku mengerti kerana hari ini hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini. Setelah aku menghadiahkan senyuman, mereka tidak lokek membalasnya semula, terhibur juga aku melihat telatah mereka di pagi hari.

Aku terus menyusun langkah. Aku terlihat sebuah bangku cokelat berhampiran dengan tempat parking kereta guru, lalu aku terus melabuhkan punggungku di situ. Melepaskan lelah seketika waktu sementara menanti ketibaan guru dan pegawai yang harus aku temui pada hari pertama itu.

Seorang demi seorang murid melintasi pintu pagar sekolah. Aku sekadar menjadi penonton bisu. Ada pelbagai gelagat dan keletah kadang-kala membuatkan aku tergelak kecil sendirian. Gelihati. Tiba-tiba, tidak semena-mena bola mataku tertancap pada seorang gadis kecil.

Di belakangnya tergalas beg sekolah yang kusam dan terkoyak,aku dapat melihatnya dengan jelas. Dia mengatur langkah longlai sambil tangan sebelah kanannya memegang sebekas tupperware. Tubuhnya kecil, rambutnya pendek paras leher, hitam, lurus dan lebat. Bukan saja beg yang koyak, kasutnya juga koyak. Aku tersentuh melihatnya. Perasaanku dirundung hiba tiba-tiba. Sayu aku melihatnya.

Gadis kecil itu terus mengatur langkah, tidak sedar aku sedang memerhatikannya. Dia jalan menunduk. Merenung tanah yang bakal dipijaknya. Pandangan matanya bagaikan kosong, sedang melayang terlalu jauh. Wajahnya suram, bagai ada hirisan di hatiku kala mata kami bertautan.

Mata gadis kecil itu seolah-olah terlalu sarat dengan derita. Terlalu sukar untuk aku membacanya. Apakah yang sedang kau fikirkan wahai anak kecil? Aku bermonolog sendirian.

___________________________________________________

Episod Dua: Hikmah Sebalik Pertemuan

Aku membetulkan tag nama yang tersemat di dada kanan ku. Tag itu tertera namaku "Nora Asyikin". Aku tersenyum menatapnya. Tudung yang sudah elok aku perbetulkan lagi, bimbang kalau-kalau penampilan pada hari pertamaku itu mengakibatkan persepsi yang buruk terbit dari minda anak muridku.

Aku berdiri tegak. Berdehem kecil beberapa kali untuk melegakan tekak. Kedua belah tanganku aku genggam dan lepas berulang kali. Seiring itu juga aku menarik nafas yang dalam beberapa kali. Aku masih berdiri di hadapan kelas 2 Mawar. Masih teragak-agak untuk melangkah masuk. Setelah membaca beberapa doa yang aku hafal, aku meyakinkan diri untuk terus melangkah masuk ke dalam kelas.

Sebaik sahaja aku masuk, suasana kelas yang tadinya bising menjadi senyap tiba-tiba. Seorang pelajar yang duduk di meja paling hadapan berdiri memberi salam padaku. Lalu aku tahu, dialah ketua darjah kelas 2 Mawar. Aku menghadiahkan senyuman kepada semua pelajar lalu menyuruh mereka duduk. Semuanya bagaikan robot, akur dengan kata-kataku.

Bilangan murid kelas 2 Mawar 26 orang semuanya. Sekolah ini tidak besar, jumlah pelajar keseluruhan dari darjah satu hingga darjah enam tidak melebihi 500 orang. Setiap darjah cuma ada 2 kelas dan bilangan murid bagi setiap kelas lebih kurang 30 orang sahaja. Aku berkira-kira di dalam hati. Kesemua 26 pasang mata sedang memandang tepat ke arahku. Ada yang tersengih-sengih menatapku dan ada juga yang sekadar endah tidak endah.

"Apa khabar semuanya? Sihat tak?" Aku memulakan bicara.

"Sihat!!" suara murid bergema menjawab soalanku serentak.

"Alhamdulillah.. siapa tahu sekarang ni waktu untuk subjek apa?" Aku memancing lagi.

"Mathematic!!" sekali lagi suara murid kelas 2 Mawar bergema. Aku senyum lalu menganggukkan kepala.

"Pandai semuanya. Alhamdulillah. Saya cikgu Nora Asyikin, guru pelatih akan mengajar kelas kamu subjek mathematic mulai hari ini, sampailah ke masa yang telah di tentukan, siapa suka matematik? " Aku mula berkeyakinan untuk berhadapan dengan murid-murid di hadapanku, panjang lebar aku berceloteh. Mereka mendengar, ada yang mengangkat tangan dan ada yang cuma tersengih menampakkan giginya yang rongak. Hatiku tercuit.

"Baiklah, hari ini cikgu tak akan terus mula mengajar, cikgu nak kenal-kenal dulu dengan kamu semua. Boleh tak cikgu tahu apa nama kamu sorang demi sorang?" Aku terus menyusun strategi. Murid-murid 2 Mawar mula kelihatan menerimaku dengan senang. Di dalam hati aku bersyukur. Mereka berama-ramai setuju untuk memperkenalkan diri masing-masing.

Seorang demi seorang murid berdiri memperkenalkan nama masing-masing. Ada Amin, Yusri, Helmi, Halimi, Muhammad, Azri, Hanif, Arif, Azmi, Hazizi, Baharom, Faizal, Anuar dan Syukri. Aku cuba sedaya upaya aku untuk menyimpan wajah dan nama mereka kemas-kemas dalam mindaku. Untuk menghafal semuanya dalam masa satu jam bukan mudah, syukur juga kerana mereka turut memakai tag nama, setidak-tidaknya kemudian hari aku tidak perlu bertanya soalan serupa berulang kali.

Baris demi baris berlalu akhirnya tiba giliran murid perempuan yang berambut pendek. Aku agak terkejut melihatnya, entah bagaimana aku tidak sedar kewujudan dia di dalam kelas ini dari tadi. Mungkin kerana fizikalnya yang kecil? Entahlah.. Namun dia tidak asing bagiku. Kali pertama melihatnya aku sudah merasakan bagai ada tarikan magnet antara kami. Tarikan yang misteri yang terlalu sukar untuk aku tafsirkan.

Dialah gadis kecil yang pernah aku lihat sewaktu aku sedang duduk di bangku berhampiran pintu pagar sekolah awal pagi tadi. Dia menarik kerusinya ke belakang lalu berdiri memandang ke arahku. Dia cuma tersenyum. Jantungku berdegup laju sedikit dari sebelumnya. Ada pelbagai persoalan yang sedang bermain dibenakku. Namun aku memujuk diri supaya bersabar dahulu.

Mungkin Tuhan sengaja menemukan aku dengannya. Apakah hikmah yang tersembunyi, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

_______________________________________

EDITED: 24 Ogos 2009

Episod Tiga: Kian Dekat

Dia masih berdiri dan tersenyum memandang ke arahku. Aku terpaku seketika. Bagai tersedar dari lamunan panjang, aku membalas senyumannya.

"Saya Siti Khadijah Binti Ibrahim, cita-cita saya mahu jadi cikgu" gadis kecil itu berkata-kata. Wajahnya redup memandang ke arahku. Di bibirnya masih terukir senyuman. Aku menganggukkan kepalaku berulang kali. Aku juga senyum padanya.

"Kenapa mahu jadi guru?" Aku bertanya lagi, sengaja menarik perbincangan lebih panjang dengan dia.

"Sebab jadi cikgu nanti dapat banyak hadiah bila hari guru.." Dia menjawab lirih. Aku tergelak kecil mendengarnya. Dia juga tersengih melihat aku. Beberapa ketika kemudiannya, aku mempersilakan dia kembali duduk di tempatnya.

Dia hanya menurut. Dia kembali duduk. Aku beralih kepada murid yang lain pula. Dari hujung mata aku sempat melihat wajahnya kembali suram seperti mana teduhnya wajah itu ketika kali pertama aku melihatnya. Dia melontar pandangannya jauh ke luar tingkap. Melayangkan lamunannya jauh tidak bertepian. Mungkin khayalannya sudah menjejak awan puti. Aku biarkan saja dia dengan lamunannya. Makin hebat perasaanku berperang sesama mereka. Bercampur aduk.

Usai bersuai kenal dengan semua pelajar kelas 2 Mawar, aku kembali ke meja di hadapan kelas. Meja guru. Aku melabuhkan punggung ke kerusi. Melepaskan penat seketika. Jam di pergelangan tanganku aku tatap sekali lagi. Lagi 10 minit masa mengajar akan berakhir. Aku kembali bingkas. Berdiri betul-betul di hadapan kelas. Menghadap ke semua pelajar kelas 2 Mawar. Aku menyambung sepatah dua kata sekali lagi sebelum mengakhirkan kelas pertama pada hari itu. Terasa bagaikan masa berlalu begitu pantas. Tidak terkejar olehku.

Aku mengemas barang milikku di atas meja guru. Lalu aku memeluk buku dan file rapat ke dadaku. Ketua kelas berdiri di ikuti semua murid, mengucapkan terima kasih untukku. Aku sekadar senyum dan menganggukkan kepala.

Sebelum melangkah kaki keluar dari bilik darjah, sekali lagi aku mengerling ke arah Siti Khadijah. Dia sedang mengemas buku di atas mejanya. Tidak sedar aku mencuri pandang terhadapnya. Gadis kecil itu, gadis kecil yang telah berjaya mencuri perhatianku. Aku ingin mendekatinya, aku pasti mendekati dia. Aku harus mencari jalan untuk mendekati dia, aku harus! Bisikku di dalam hati.

______________________________________

UPDATE 25 Ogos

Episod 4: Sekeping Hati yang Suci

Aku menatap jam yang terlekat di pergelangan tanganku sekali lagi. Waktu rehat cuma tinggal 15 minit. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina terlebih dahulu ke kantin setelah aku memberitahu mereka bahawa aku bakal menyusul lagi beberapa minit. Namun sakit senggugut kali ini bukan calang-calang sakit. Aku lansung tidak dapat bangkit dari kerusiku. Dahiku berkerut menahan kesakitan. Peluh menitik dari setiap liang romaku. Aduh!

"Cikgu.." tiba-tiba aku terdengar suara kecil menyapaku dari belakang. Suara seorang kanak-kanak, aku boleh mengagaknya. Dengan lemah aku menoleh ke arah suara itu. Aku terkejut melihat Siti Khadijah berdiri di belakangku. Riak wajahnya seakan risau melihat keadaanku. Aku cuba mengukir senyum.

"Khadijah ada apa jumpa cikgu?" aku mengajukan soalan setelah terpaku beberapa detik. Gadis kecil itu masih lagi pegun di tempatnya berdiri.

"Cikgu sakit ke?" dia tidak menjawab soalanku, malahan menyoal aku semula.

"Cikgu tak makan ubat?" bertalu-talu dia bertanya kepadaku. Aku sekadar tersenyum, kemudian menggelengkan kepala.

"Sakit sikit saja, tak perlu makan ubat, sekejap lagi baiklah.." aku menjawab lemah. Senyuman masih terukir di wajahku, cuba menutup kesakitan agar gadis kecil di hadapanku itu tidak berterusan bimbangkan aku. Setelah melihat aku seola-olah tidak apa-apa, akhirnya dia tersenyum. Dia mungkin lega.

"Cikgu, saya belikan karipap untuk cikgu, ambiklah," ujar gadis kecil itu sambil menghulurkan beg plastik yang terisi dengan karipap. Aku menggeleng kepala, cuba menolak lembut. Aku kagum melihat keprihatinannya. Betapa suci hati seorang gadis kecil, namun aku keberatan untuk menerima karipap itu. Aku tahu dia bukanlah dari keluarga berada, dia lebih memerlukan karipap itu daripada aku.

"Takpe Khadijah, cikgu tak lapar, kamu makanlah.." aku cuba menolak, kata-kata itu terluncur keluar dari bibirku. Gadis kecil itu masih berkeras. Dia masih menghulurkan karipap itu kepadaku, tidak berganjak.

"Cikgu, saya beli karipap tiga. Saya dah makan satu, cikgu ambiklah dua. Saya lalu bilik guru tadi saya nampak cikgu sakit perut, saya takut cikgu lapar," gadis itu berceloteh di hadapan ku. Aku jadi tidak tergamak untuk kecewakan harapannya lalu aku menyambut hulurannya.

"Terima kasih ya, nanti cikgu belanja Khadijah pulak," Aku mengucapkan terima kasih. Dia tersengih memandangku. Mungkin seronok akan dibelanja olehku.

"Cikgu, lain kali kalau cikgu lapar lagi, cikgu jangan risau ye, kalau saya ada duit, saya belikan cikgu kuih," gadis kecil itu berceloteh lagi. Aku sekadar mampu tersenyum. Anak kecil sepertinya bukan tahu kalau pun aku beritahu bahawa aku sakit kerana senggugut. Lalu aku iakan saja. Aku anggukan kepalaku.

"Loceng dah nak bunyi dah..." aku mengingatkan gadis kecil itu setelah menatap jam di dinding bilik guru. Dia ikut sama memandang jam yang terlekat di dinding itu.

"Saya pergi dulu ya cikgu!" dia meminta diri lalu berlari keluar dari bilik guru. Hatiku tercuit melihat telatah gadis kecil itu. Hilang kisah sakit senggugutku. Melayan gelagat gadis kecil itu bagai penawar yang paling mujarab. Saraf-saraf kesakitanku kini berhenti menghantar isyarat ke otak. Sakit itu sudah tiada. Aku mengucapkan syukur kepada Ilahi di dalam hati. Sejenak kemudian, aku teringat karipap di tanganku. Sekali lagi aku tersenyum.


Sudah sebulan aku di sini. Aku panjatkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana mempermudahkan segala urusanku sepanjang keberadaan aku di sekolah ini. Allah Maha Mengetahui, Dia memberikan dugaan hanya kepada hamba-Nya yang benar-benar mampu memikulnya. Dan Allah juga tahu bagaimana gejolak perasaanku. Dia tahu segala yang telah aku lalui dan Dia juga tahu apa yang bakal aku tempuhi. Hanya kepada Dia aku berserah dan memohon. Hanya daripada Dia aku meminta pertolongan. Sesungguhnya aku mengaku, aku bukanlah hamba yang sempurna. Aku juga banyak melakukan khilaf. Hanya kepada Dia aku mengadu dan memohon keampunan.

Suasana bilik guru yang sunyi kini kembali riuh, guru-guru kini kembali ke meja masing-masing setelah selesai menjamu selera. Waktu rehat sudah berakhir. Dari jauh aku melihat Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina berjalan menuju ke arahku. Dari kejauhan aku dapat melihat riak wajah mereka, seolah-olah sarat dengan pertanyaan. Aku bersedia menghadapi mereka. Aku boleh mengagak apa soalan yang bakal ditanya. Aku melemparkan senyuman ke arah mereka. Terbit juga rasa kesal kerana mungkir janji dengan mereka berdua. Mungkin mereka lama menanti kehadiran aku di kantin. Memang aku bersalah kerana tidak menunaikan janji, tapi apakan daya, aku juga tidak bermaya.

Sepintas lalu aku teringatkan karipap di tanganku yang masih belum sempat aku jamah. Sekali lagi gelagat si gadis kecil menerjah fikiranku. Hatiku tercuit mengenangkan dia, aku tergelak kecil sendirian. Cikgu Sofea Aleeya dan Cikgu Marlina kini berdiri tepat di hadapanku. Kehairanan barangkali melihat aku tersengih sendirian. Belum sempat mereka mengajukan soalan, aku terlebih dahulu meminta maaf. Lalu aku memaklumkan apa yang terjadi sebentar tadi. Mereka berdua jelas risaukan keadaanku namun dengan segera aku memaklumkan kepada mereka bahawa aku kini sudah tidak sakit lagi.

"Jangan risau, saya tidak apa-apa, dah okey dah.." berkali-kali aku menjelaskan, namun mereka berdua masih lagi risaukan aku.

"Betul ni awak okey? Dah makan 'pain killer' ke?" Cikgu Marlina bertanya lagi.

"Dah.. gadis kecil 'pain killer' saya!" aku menjawab kemudian tergelak. Gelihati melihat wajah kedua-dua guru di hadapanku yang kehairanan semacam lagaknya. Dahi mereka berkerut, mulut mereka terbuka sedikit. Sungguh aku tidak mampu menahan gelak, di situ juga ketawaku berderai.

----------------------------------------------------

UPDATE : 29 Ogos 2009

Episod 5: Hilang Di Mata


Suara unggas memeriahkan suasana malam. Irama yang jauh berbeza dengan keadaan di tempat tinggalku di kota besar, deruman enjin kenderaan memenuhi setiap ruang masa. Di desa ini aku berasa damai. Jiwaku tenang. Aku mengatur langkah menuju ke arah tingkap bilikku. Daun tingkap aku kuak perlahan, serentak itu aku dapat rasakan angin malam menyentuh pipiku. Dingin.


Malam ini bulan mengambang penuh. Indah. Spontan bibirku melafazkan Subhanallah. Aku masih berdiri di jendela, melontar pandangan jauh ke langit. Bulan itu cantik namun entah kenapa aku tetap jua mencari bintang-bintang. Sejak aku kanak-kanak, aku sangat gemar merenung langit, mencari bintang. Mengira bintang. Hinggalah akhirnya aku mengenal buruj, membuak-buak cita-citaku untuk menjadi seorang astronomer. Teringat kenangan silam membuatkan aku tersenyum sendirian. Membayangkan teleskop di sekolah lama dan kenangan bersama teman-teman lama. Indahnya zaman kanak-kanak.


Bagai tersedar dari lamunan, aku tiba-tiba teringatkan si gadis kecil, Siti Khadijah. Pernah suatu pagi dia memuji aku. Wajahnya berseri-seri. Katanya aku cantik, aku lawa kerana aku bertudung labuh. Dia juga ingin memakai tudung ke sekolah sama sepertiku, malangnya emak dan ayahnya tidak mampu membelikannya tudung. Teringatkan sesuatu lansung membuat aku terus menutup tingkap. Aku selak tingkap itu rapi. Tergesa-gesa aku berlalu, ingin melihat sekali lagi tudung yang telah aku belikan untuk gadis kecil itu.


Aku membelek-belek sehelai kain tudung putih di atas ribaanku yang aku beli di Bandar Kota Bharu sebaik sahaja pulang dari sekolah siang tadi. Aku ingin hadiahkan tudung ini kepada seseorang yang istimewa. Tidak sabar rasanya menunggu hari esok tiba. Agar aku dapat bertemu dengan gadis kecil itu, agar aku dapat memberikan tudung putih ini kepadanya. Kain tudung itu aku lipat rapi kemudian memasukkanya semula ke dalam beg kertas. Aku harus tidue segera agar masa berlalu tidak terasa lama.


----------------------------------------------------------------


Aku tiba di sekolah awal pagi. Orang pertama yang tiba setelah Pak Mamat jaga sekolah membuka kunci pagar. Aku menanti seseorang. Tidak sabar bertemu dengannya. Seorang demi seorang murid sekolah melintas pintu pagar, kini kian ramai. Namun bayang-bayang si gadis kecil tetap juga tidak menjelma. Sudah setengah jam aku menanti di bangku cokelat, namun dia tetap juga tidak menampakkan wajah.

Loceng sekolah berdering nyaring. Pintu pagar ditutup menandakan waktu pembelajaran sudah bermula. Aku sedar penantianku pagi ini tidak membuahkan hasil. Aku bingkas bangun. Aku tidak boleh terus menunggu kerana aku juga ada tugas yang perlu aku laksanakan. Aku mengorak langkah, menuju ke bilik guru. Aku kecewa namun masih berharap dapat dia tetap akan hadir ke sekolah walaupun lewat sedikit. Jam 9 nanti giliran aku mengajar kelas 2 Mawar, aku berdoa mudah-mudahan dapat melihat dia duduk di kerusinya. Amin.

--------------------------------------------------------------------

UPDATE 4 September 2009

Episod Enam: Terbongkar Rahsia


Hari ini aku tunaikan solat zuhur di surau sekolah. Aku tidak pulang terus ke rumah kerana ada destinasi lain yang ingin ku tuju. Beberapa minit sebelum azan berkumandang, aku siap berwudhuk, menyarung telekung putih yang dihadiahkan oleh arwah ayah ketika ulangtahun kelahiranku 3 tahun lepas. Agak usang, namun aku amat gemar menggunakan telekung ini. Sementara menanti tibanya waktu zuhur, aku mencapai senaskah Quran di atas rak. Masih kelihatan baru, mungkin kerana ianya sangat jarang digunakan. Aku menyelak lembaran Quran itu lalu terus ke surah Ar-Rahman. Aku mulakan bacaan dengan membaca ummul kitab, Al-Fatuhah.

Selesai memberi salam, aku menadah tangan, merendah diri memohon doa kepada Allah Yang Esa. Banyak yang aku adukan. Banyak juga yang aku pinta. Sesungguhnya hanya kepada Dia aku berserah dan bergantung harap. Aku tak lupa mendoakan arwah ayah, ibu, dan seluruh muslimin dan muslimat. Dalam doaku juga aku tidak lupa untuk hadiahkan doa buat gadis kecil. Sungguh aku bimbang akan dia. Hari ini sudah masuk tiga hari dia tidak datang ke sekolah. Aku penasaran ingin tahu keadaannya bagaimana.

Hari ini aku nekad, sebaik sahaja tamat waktu persekolahan, aku ingin menjenguknya di terataknya. Ketika di dalam kelas pagi tadi, aku sempat bertanya rakan sekelasnya mana letaknya rumah Siti Khadijah si gadis kecil. Alhamdulillah, ada juga yang dapat membantu. Aku panjatkan syukur kepada Ilahi.

--------------------------------------------

" Saya Cikgu Nora, Khadijah ada?" Aku bertanya kepada seorang anak kecil sebaik sahaja tiba di teratak usang itu. Puas aku memberi salam, memanggil dari luar, tiada siapa yg keluar kecuali seorang anak kecil tidak berbaju, dalam lingkungan usia 5 tahun. Anak kecil itu menggelengkan kepalanya. Aku juga tidak pasti samada dia benar-benar memahami soalan aku atau tidak.

"Mak ada?" Aku bertanya lagi setelah beberapa ketika berdiri di situ. Anak kecil itu berlari masuk ke dalam rumahnya semula. Dari luar aku mendengar suara kecilnya memanggil ibunya. Aku masih setia menanti di situ. Beberapa minit kemudian anak kecil itu kembali lagi berdiri di muka pintu rumah.

"Mak atiq, mak yuh acuk," Anak kecil itu memaklumkan sesuatu padaku. Masih pelat, tapi aku dapat memahaminya. Aku mengerti, lalu mengatur langkah, memanjat tangga kayu dengan hati-hati. Rumah ini agak usang. Sayu aku melihatnya. Bertambah hiba hatiku melihat seorang wanita sedang terbaring di atas tilam di ruang tamu rumah. Wajahnya cengkung, badannya kurus. Hanya tinggal tulang dan kulit. Aku nyaris menitiskan air mata simpati, namun ku tahan semampu aku.

Aku menghulurkan tangan, bersalam dengan tuan rumah. Wanita itu kelihatan sungguh lemah untuk menyambut salamku, tangannya menggigil. Namun dia masih menghadiahkan aku senyuman yang penuh dengan keikhlasan, iras benar dengan senyuman Siti Khadijah. Mana lagi tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi? Teringatkan Siti Khadijah, aku makin tertanya-tanya. Sudah hampir setengah jam aku di situ namun bayangnya tetap juga tidak muncul.

"Khadijah mana yer? Dari tadi saya tak nampak dia pun.." aku memberanikan diri untuk bertanya. Riak wajah wanita itu menjadi kian sayu. Matanya bergenang air mata. Dia memalingkan wajahnya, melontarkan pandangan jauh entah ke mana. Diam. Aku juga ikut diam, tidak berani untuk bertanya lagi, bimbang menambah racun pada luka yang masih berdarah.

Walaupun jantungku berdegup agak kencang kerana perasaan ingin tahu membuak-buak, namun aku mengunci bibir. Biarkan dia melayani melankoli hatinya, dan aku memujuk hatiku sendiri. Pasti ada jawapannya. Aku optimis. Bersabarlah Nora Asyikin.

--------------------------

UPDATE 7 Sept 2009

Episod Tujuh: Takdir yang Tertulis


Aku sendiri tidak tahu kenapa, di teratak usang ini mudah benar hatiku tersentuh. Dalam hingga ke dasar lubuk hati. Anak kecil tidak berbaju tadi pastinya belum mengerti apa-apa. Saat ibunya berlinangan airmata, dan aku juga, dia bagaikan sedang asyik di alam lain. Sedang mengira biji-biji getah di satu sudut rumah. Kadang-kadang dia ketawa dan ada masanya merungut sendirian. Indahnya dunia seorang kanak-kanak yang belum mengenal erti kehidupan. Ah..

Aku kesat sisa airmata yang berbaki di kedua belah pipiku. Ibu Siti Khadijah juga begitu. Hatiku sayu tidak tertanggung mendengar cerita si ibu yang sedang terbaring sakit. Cerita tentang mereka sekeluarga, terkandung di dalamnya penderitaan yang ditanggung oleh anak-anak yatim itu. Memilukan. Sudah suratan takdir yang tertulis buat mereka sekeluarga, moga mereka tabah mengharungi, dalam hati aku panjatkan doa kepada Ilahi.

Kini aku kian mengerti mengapa gadis kecil itu sering saja termenung dan mengasingkan diri. Dalam diam, aku kian mengkagumi gadis kecil itu, tubuhnya saja kecil tapi jiwanya cekal, kental, semangatnya besar, mungkin lebih besar dari aku. Di dalam kelas akulah guru, namun kini, gadis kecil itu pula yang mengajar aku erti ketabahan yang sebenar. Dia juga guruku. Dalam diam aku memuji.

Setelah berbasa-basi, aku meminta diri untuk pulang. Sebelum terus pulang ke rumah sewa, aku ingin bertemu gadis kecil. Aku ingin menyampaikan sesuatu kepadanya. Aku ingin tahu bagaimana keadaan dirinya. Aku ingin melihat dia. Atau mungkin, aku rindu kepada gadis kecil itu. Segalanya mungkin kerana di sekolah ini, dialah murid yang paling rapat denganku. Pilih kasihkah aku? Ya Allah.. ampunkanlah dosaku.

Ibu Siti Khadijah izinkan aku bertemu anaknya. Aku bertanya bagaimana ke sana, dia menjawab senang. Aku berterima kasih lalu meminta diri. Wanita lemah tidak bermaya itu cuma mampu menghantar aku pulang dengan lirikan matanya. Aku tidak berkecil hati kerana aku benar-benar memahami keuzurannya. Hari ini mungkin harinya, nasib aku kemudian hari hanya Allah yang tahu.

Aku mengatur langkah berhati-hati. Risau juga andai terpijak papan reput. Anak kecil tidak berbaju mengekori aku dari belakang, menghantar aku hingga ke muka pintu, ketika dia menyalami aku, aku hulurkan dia sekeping duit kertas, aku katakan padanya, buat beli jajan. Mulanya dia segan untuk menerima namun setelah aku bersungguh-sungguh menghulur, dengan malu-malu dia mengambilnya.

Dia tersengih menampakkan giginya yang rongak. Dia gembira. Aku juga turut merasai kebahagiaannya itu, erti hidup pada yang memberi. Benarlah, tangan yang memberi itu jauh lebih baik dari tangan yang menerima. Bahagia yang aku rasai meresap ke seluruh jiwaku. Besar hikmahnya pada mereka yang mengeluarkan hartanya kerana Allah, rukun Islam ke empat juga mewajibkan umat Islam yang berkemampuan menunaikan zakat, kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui.

Aku tersenyum senang, menampakkan barisan gigiku yang tidak rongak tetapi putih tersusun lalu terus mengatur langkah. Aku ingin bertemu gadis kecil. Biarpun sekejap cuma. Aku ingin melihat sendiri dengan mata kepalaku bagaimana dia memerah keringat. Aku masuk ke dalam kereta. Sebaik sahaja aku menutup pintu kereta, anak kecil tidak berbaju itu melambai-lambai ke arahku, lambaian selamat tinggal barangkali. Aku melambai kepadanya kembali, aku masih lagi tersenyum, namun hatiku pilu.

----------------------------------

Setelah berjalan lebih kurang lima minit, aku tiba di kawasan sawah bendang. Sayup mata memandang. Mana mungkin untuk aku meredah setiap batas. Mencari gadis kecil itu di setiap penjuru bendang yang luas itu. Aku juga tidak tahu harus bermula dari mana. Terik matahari masih lagi memancarkan sinarnya. Bahangnya sudah terasa menggigit kulitku, namun demi Siti Khadijah, aku masih lagi berdiri di situ. Mencari jalan, memikirkan cara.

"Pakcik.. Pakcik! Assalamualaikum, boleh saya tumpang tanya, pakcik tahu tak mana anak arwah Pakcik Ibrahim berada sekarang?" Aku bertanya kepada seorang petani tua yang kebetulan melintas di hadapanku. Ini petani ketiga yang aku sapa setelah dua orang petani yang aku tanya sebelum ini tidak dapat membantu apa-apa.

"Waalaikumsalam..oh.. budak-budak tu.. tadi pakcik ada nampak mereka masa memindahkan anak padi.. kamu lalu ikut sini.. sampai nampak pohon kelapa kamu belok kanan..dari jauh kalau kamu nampak 3 orang budak dalam bendang,hah, itulah mereka.." petani itu menunjukkan arah kepadaku sambil tangannya digayakan ala-ala polis trafik. Aku sekadar mengangguk-anggukan kepala, sebagai tanda aku mengerti. Aku berterima kasih kepadanya.

"Kamu ni sape?" Petani itu mengusul pula. Aku tersenyum.

"Saya cikgu dia.." Aku menjawab, masih tersenyum.

"Oh cikgu.. bagaimana budak-budak tu kat sekolah? kasihan juga pakcik tengok mereka, kecik-kecik lagi dah kena turun sawah.." Petani itu menyambung lagi. Raut wajahnya mempamerkan rasa simpati itu. Aku tunduk ke tanah. Diam beberapa ketika mencari ayat yang paling sesuai. Aku juga simpati.

----------------------------------

Ini kali pertama aku turun ke bendang. Aku meniti setiap batas dengan hati-hati. Ada batas yang elok dan ada juga yang tidak. Kakiku sudah bersalut selut hingga ke paras betis. Aku gagahkan jua langkahku mencari sebuah destinasi dalam panas terik mentari. Peluh mula membasahi dahiku, namun sedikit pun tidak mematahkan semangatku. Aku terus mara.

Setelah 17 minit meredah bendang, akhirnya dari jauh aku dapat melihat 3 orang kanak-kanak seperti yang diberitahu oleh petani tua sekejap tadi. Aku tersenyum. Pencarianku membuahkan hasil. Alhamdulillah. Syukur pada-Mu Tuhan, sebelum sempat aku berputus asa, Kau berikan aku kejayaan. Aku mempercepatkan lagi langkah kakiku. Destinasi itu kian hampir, aku kian bersemangat.

"Assalamualaikum!" aku meninggikan sedikit suaraku, memberi salam setelah sampai ke petak sawah mereka. Mereka sedang asyik bekerja hinggakan kehadiranku tidak disedari lansung. Mendengar salamku barulah mereka menoleh ke arahku. Gadis kecil itu juga memandang ke arahku. Riak wajahnya mengelirukan, terlalu sukar untuk aku membacanya saat itu. Oh Tuhan, adakah aku tersilap langkah? Adakah kehadiranku tidak disenangi? Harus bagaimana aku memperbetulkan keadaan, berikan aku petunjuk-Mu Tuhan.

----------------------

Episod Lapan : Bertemu untuk Berpisah. [Episod Akhir]

"Khadijah! Jangan lari!" Aku memanggil sebaik sahaja melihat Siti Khadijah mempercepatkan langkah, ingin keluar dari bendang. Siti Khadijah teragak-agak, tidak mahu toleh ke belakang.

"Khadijah, cikgu bukan nak marah kamu.." Aku cuba memujuk lagi. Aku bersyukur kerana akhirnya dia mematikan langkahnya. Dia menoleh ke arahku, aku menghadiahkannya sekuntum senyuman istimewa buatnya.

"Betul cikgu tak marah? Saya dah tiga hari tak pergi sekolah.." Tanya Siti Khadijah lagi, inginkan kepastian, ternyata, dia juga sedar akan kesalahannya. Aku senyum dan anggukkan kepala..

"Betul, cikgu tak marah, cikgu ada hadiah untuk Siti Khadijah," Ujarku sambil menghulurkan sesuatu kepadanya. Dia tersengih-sengih menghampiri aku. Malu-malu.

"Ambiklaa.. hari tu Khadijah hadiahkan cikgu kuih, sekarang cikgu pula bagi hadiah untuk Khadijah, ambiklah," Pujuk ku setelah melihat dia masih ragu.

"Terima kasih, cikgu," ucapan keramat dari seorang murid buat sang guru. Aku senang mendengarnya.

"Tudung baru!! Wah.. seronoknya!! terima kasih cikgu, saya suka tudung nih, dah lama nak tudung tapi mak tak beli, mak takde duit.."Khadijah girang, melompat-lompat di atas batas, sungguh aku terhibur melihat gelagatnya. Maha Suci Allah.

"Esok pergi sekolah tahu.. pakai tudung baru, pasal yuran yang belum di bayar jangan risau ye, nanti cikgu bincang dengan guru besar..yang penting Khadijah, kakak dan adik belajar, ilmu tu penting..untuk kita dunia dan akhirat.."Aku memujuk senang.

"Baik cikgu! esok saya pergi sekolah.. nak pakai tudung baru..seronoknya kak.. Mael.. tengok ni, orang ada tudung baru, yeay yeay!" Dia masih kegirangan, bersemangat!

Ya Allah, moga kebahagiaan milik si gadis kecil itu akan terus berkekalan, dia masih kecil, jalan hidupnya masih jauh, moga Kau ringankanlah bebanannya Ya Allah, moga Kau jadikan dia hamba-Mu yang solehah, moga dia bahagia dunia dan akhirat.

----------------------------------

Hujan turun dengan lebat sejak subuh tadi. Fenomena biasa di musim tengkujuh. Entah kenapa, hatiku sering hiba tatkala hujan turun mencurah-curah. Kali ini perasaan sayu itu sungguh hebat, desak nafasku bagaikan menghimpit. Aku kegelisahan. Jam sudah menunjukkan jam 9.45 pagi, waktu menjagar kelas 2 Mawar juga sudah hampir tamat. Kerusi milik Siti Khadijah tidak berpenghuni, dia tidak hadir. Semalam dia berjanji akan datang ke sekolah hari ini, memakai tudung baru, tapi di manakah dia? Aku benar-benar resah.

Waktu mengajar sudah selesai. Aku mengemas buku milikku lalu kembali ke bilik guru. Sebaik sahaja tiba, aku lihat suasana kecoh di dalam bilik guru. Tidak semena-mena, jantungku berdegup kencang. Aku percepatkan langkah, menghampiri kelompok guru yang sedang berbincang. Atau mungkin berbicara. Atau mungkin, ah, aku sudah tidak mampu berfikir lagi, aku benar-benar resah. Dari jauh aku mendengar mereka menyebut nama Siti Khadijah, gadis kecil yang mencuri hatiku. Darahku mengalir kian laju.

"Cikgu, ada apa?" tanpa salam aku terus bertanya.

"Siti Khadijah, pelajar kelas 2 Mawar, jatuh dalam tali air pagi tadi masa nak datang sekolah.." Suatu suara menjawab pertanyaanku, lututku bagai lemah longlai. Laju saja airmata mengalir dari ke dua kelopak mataku. Tanpa berfikir panjang, aku terus berlari keluar dari bilik guru, wajah si gadis kecil bermain-main di layar fikiranku. Hanya dia.

---------------------------------------

Sebaik tiba di tali air, tidak jauh dari sekolah, bagaikan pesta sedang berlansung. Ramai orang berkumpul sepanjang tali air. Hatiku kecut sekali. Sungguh aku tidak cukup tabah untuk menerima kenyataan bahawa aku akan kehilangan dia untuk selamanya. Sungguh aku tidak cukup kental untuk melepaskan dia pergi untuk selamanya. Sungguh aku cuma hamba yang lemah, ya Tuhan, selamatkanlah Siti Khadijah.

Dengan langkah yang longlai, aku tabahkan hati menghampiri kelompok orang ramai. Aku dapat melihat kakak dan adik Siti Khadijah sedang menangis berpelukan di pinggir tali air. Suasana hiba dan riuh. Tanpa perlu bertanya, aku dengar mereka berbisik sesama mereka. Mayatnya belum dijumpai.

Beberapa barang miliknya sudah ditemui, tapi tidak jasadnya. Aku amati barang yang dijumpai. Sepasang kasut yang koyak rabak, aku tahu itu benar-benar milik gadis kecil, airmataku kian meluncur laju. Di sisi kasut koyak usang itu letaknya sehelai tudung putih yang masih baru, aku juga kenal tudung itu, pemberianku buat si gadis kecil. Ya Allah..Tabahkanlah hatiku ya Allah, selamatkanlah Siti Khadijah.. dalam hati aku masih berdoa, airmataku gugur bersatu dengan lebatnya hujan yang turun.

"Dah jumpa, mayat dah jumpa!" suara itu bagaikan petir menikam ke jantungku. Tiba-tiba suasana kembali riuh. Orang ramai menghurungi punca datangnya suara. Aku menyaksikan dengan kedua mataku, mereka mengusung sekujur jasad yang kaku, tidak lagi bernyawa..

Ya Allah.. Alam bagaikan gelap gelita, aku rebah jatuh ke bumi.

Innalillahiwainnailaihirajiun..

Tuesday, September 15, 2009

salam....mekaceh wat kawan2 yg sudi hadir ke mjlis kami....mekaceh jgk sbb tlg habiskan makanan 2....wat alin, daya, n sue,,,,mekaceh sekali lagi korbankan mase tolong kami wt moreh 2....
n utk kwn2 sume SeLamAt meNyambut HaRi rAya AidiL Fitri MaaF ZaHir dan BaTin....

Sunday, September 13, 2009

>>eidil milad k.fatin n izzati.... we luv u fillah so much.........


di sini kami 18 org plajar ppismp dengan rasminye dn sukecitenye nk luahkn perasaan yg terbuku dihati kami stelah sekian lame mmndm perasaan....

SELAMAT HARI LAHIR
KAK FATIN
&
IZZATI



moge pnjang umur n murah rezeki... yg penting moge mendapat barakah Allah dunia n akhirat...
syukran sbb susah22 buat morih kt kteorg smalam.. sdap22 sgt... nnti wt lg ea..

PPISMP 3.02


Kita Semua Satu Hati



Semoga Ukhuwah Kita Ukhuwah Fillah..
Sama2 kita perbaiki diri
Moga2 kita menjadi muallim wa muallimah cemerlang

Thursday, September 10, 2009

DI MANA MARUAH ARTIS KITA?

“Saya tidak gadai maruah”. Itulah jawapan seorang artis wanita apabila ditanya tentang ‎adegan lakonan beliau berpelukan dengan seorang artis lelaki yang menunjukkan beliau ‎kelihatan seolah-olah seperti dicium oleh artis lelaki tersebut. Alasannya mudah sahaja. ‎Ketika itu beliau berpakaian lengkap dengan seluar Jeans dan baju T-shirt. Bagi beliau, ‎apa yang dilakukan olehnya adalah perkara biasa sahaja. Oleh itu, tidak ada apa yang ‎perlu beliau kesal dan sesalkan.‎

Memang betul, apa yang dilakukan oleh artis wanita tersebut hanyalah lakonan ‎semata-mata, dan kita juga percaya bahawa beliau tidak pernah melakukan adegan ‎bercuim tersebut, malah adegan tersebut dilakukan dengan menggunakan muslihat ‎kamera (camera trick) seperti yang beliau jelaskan. Namun persoalannya, adakah adegan ‎berpelukan tersebut belum lagi mencapai tahap yang dikatakan sebagai menggadai ‎maruah ? Adakah keadaan pahanya yang berada di atas paha artis lelaki tersebut juga ‎dilakukan secara muslihat kamera ?‎

Ya ! Setiap orang memang berhak menentukan definisi maruah bagi diri mereka ‎sendiri. Mungkin bagi sesetengah orang, berpakaian mandi di kolam renang dan tepi ‎pantai bukanlah sesuatu yang patut dimalukan kerana pakaian yang dipakai tersebut ‎sesuai dengan tempat dan suasana. Namun bagi sesetengah pihak pula, pakaian mandi ‎tetap dianggap menjolok mata, lalu tidak sesuai dipakai oleh wanita muslimah, walau di ‎mana sahaja mereka berada, kecuali di tempat tertutup yang hanya dihadiri oleh kaum ‎wanita dan kanak-kanak sahaja.‎

Isu ini sebenarnya adalah isu lama yang muncul dalam bentuk yang baru. ‎Sebelum ini pun ada artis wanita yang berlakon di tepi pantai dengan hanya berpakaian ‎mandi ala artis-artis Hollywood. Ada pula yang berkemban sehingga menampakkan paha ‎dan belahan dada. Malah, ada juga artis lelaki yang meniru lakonon Mr. Bean dengan ‎menampakkan kepada penonton bahawa beliau seolah-olah sedang bertelanjang bulat. ‎Adakah aksi-aksi seperti ini tidak dianggap sebagai menggadai maruah ?‎

Nampaknya sebelum kita pergi lebih jauh lagi dalam isu ini, kita perlu ‎memastikan terlebih dahulu kayu ukur yang sepatutnya kita gunakan dalam menentukan ‎makna “menggadai maruah” itu sendiri. Hal ini kerana selagi kita berbeza dalam ‎menentukan kayu ukur tersebut, maka selagi itulah kita tidak akan selesai dalam ‎membicarakan isu-isu yang berbangkit, dan selagi itulah juga kita akan terus berbalah ‎tentang perkara yang sepatutnya kita selesaikan.‎

Sebagai sebuah negara Islam yang sedang mempromosikan prinsip-prinsip Islam ‎Hadhari, sudah pastinya kita mahu melihat prinsip Islam Hadhari yang kelapan, iaitu ‎Keutuhan Budaya dan Moral turut mewarnai dunia seni dan hiburan tanah air. Oleh itu, ‎kuyu ukurnya di sini adalah ajaran-ajaran agama Islam, khususnya bagi artis-artis yang ‎beragama Islam, dan nilai-nilai moral dan peradaban timur yang tinggi bagi artis-artis ‎yang bukan beragama Islam.‎

Mungkin ada yang bertanya ; “Kalau itulah kayu ukurnya, maka susahlah bagi ‎orang-orang filem untuk cari makan?”. Apa tidaknya, banyak pantang larang yang ‎terpaksa dipatuhi. Tidak boleh bercium, dan tidak boleh berpeluk-pelukan. Malah adegan ‎berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan juga tidak boleh ditonjolkan. Lalu ‎bagaimanakah seseorang pengarah boleh menimbulkan perasaan kasih sayang, cinta, ‎kemesraan, kebahagiaan, dan sebagainya dalam filem dan drama yang mereka arahkan ‎jika adegan-adegan tersebut tidak dibolehkan.‎

Lalu ada di kalangan pelakon yang meluahkan perasaan kurang senang dengan ‎kenyataan Mawi yang meletakkan syarat tidak mahu berpegangan tangan dengan pelakon ‎wanita dalam filem Aduh Saliha. Ada yang memberi alasan mencari rezeki bagi ‎‎‘menghalalkan’ tindakan mereka tersebut, dan ada pula yang mengatakan tidak mengapa ‎kerana mereka bukannya mahu berseronok melalui lakonan sebegitu, tetapi lebih kepada ‎menghayati watak dan menghidupkan lakonan. Lagipun adegan-adegan tersebut hanya ‎meliputi sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan drama atau filem.‎

Walau apa pun alasan yang diberikan, kejayaan sesebuah filem atau drama ‎sebenarnya lebih banyak terletak kepada kreativiti seseorang pengarah. Bagi ‎menghasilkan filem yang mengisahkan tentang kehidupan junjungan Nabi Muhammad ‎s.a.w. misalnya, pengarah filem tersebut mestilah mengambil kira dan menghormati ‎pandangan jumhur ulama yang mengharamkan penonjolan watak Nabi Muhammad s.a.w. ‎secara visual. Lalu bagaimanakah filem tersebut boleh dihasilkan ?‎

Bagi pengarah yang tidak mahu berfikir panjang, mereka akan segera angkat ‎tangan, tetapi tidak bagi pengarah yang betul-betul berjiwa seni. Bagi mereka, banyak ‎kaedah yang boleh digunakan, dan kesannya kepada penonton masih tetap sama. Lalu ‎terciptalah kaedah pergerakan kamera bagi menggambarkan pergerakan Nabi ‎Muhammad s.a.w. Kisah hidup Rasululullah s.a.w. bersama para sahabat dan isteri ‎baginda pula diceritakan melalui perbualan orang ramai sesama mereka. Maka, di ‎manakah susahnya? Yang pentingnya, penonton memahami mesej yang hendak ‎disampaikan.‎

Pernahkah anda menonton filem Lion of The Disert. Walaupun pengarah dan ‎barisan pelakon utamanya tidak beragama Islam, mereka berjaya menghasilkan filem ‎tersebut tanpa perlu menonjolkan adegan-adegan yang bercanggah dengan ajaran Islam. ‎Hasilnya tetap memuaskan, jauh lebih baik berbanding filem Leftenan Adnan, Embun, ‎dan Paloh. Malah, di akhir filem tersebut ada penonton yang mengalirkan air mata.‎

Sehubungan itu, penulis merasakan bukanlah suatu masalah yang besar bagi M. ‎Nasir untuk menghasilkan Aduh Saliha walaupun terpaksa akur dengan syarat yang ‎dikenakan oleh Mawi tersebut. Berpegangan tangan sebenarnya bukanlah suatu slot yang ‎sangat penting dalam sesebuah filem atau drama. Tanpa adegan tersebut pun sesebuah ‎filem dan drama masih boleh menyampaikan mesejnya kepada para penonton. Dan jika ‎terpaksa sekalipun, tangan pelakon tambahan (yang bukan beragama Islam) boleh ‎digunakan seperti yang selalu kita lihat dalam drama bersiri Mutiara Hati.‎

Justeru itu, perasaan kasih sayang, cinta, kemesraan, kebahagiaan, kegembiraan, ‎kesedihan, dan sebagainya tidak semestinya ditonjolkan melalui adegan berpelukan di ‎ranjang, berpegangan tangan secara ghairah, kendong-mengendong, berdakapan sambil ‎menepuk belakang, berbaring di atas riba, usap-mengusap rambut, mandi bersama di ‎perigi secara berkemban, dan adegan-adegan yang seumpamanya. Banyak lagi alternatif ‎lain yang boleh digunakan bagi menyampaikan mesej yang sama kepada penonton.‎

Oleh itu, sudah sampai masanya industri filem di negara ini diselamatkan ‎daripada unsur-unsur yang boleh mencemarkan nama baik Malaysia sebagai sebuah ‎negara Islam. Para pelakon pula hendaklah disedarkan tentang peranan mereka sebagai ‎duta bagi memperkenalkan negara ini dan gagasan Islam Hadhari ke seluruh pelusuk ‎dunia melalui lakonan yang mantap, hidup, dan berkesan, bukannya melalui lakonan ‎yang boleh diistilahkan sebagai ‘berani malu’.‎

Sekiranya usaha-usaha seperti ini tidak dilakukan melalui sekarang, kita bimbang ‎suatu hari nanti terdapat artis negara ini yang bercakap tentang maruah dan harga diri, ‎sedangkan ketika itu beliau hanya mengenakan coli dan bikini sahaja ! Malah lebih ‎membimbangkan lagi jika maruah dan harga diri sudah tidak ada dalam kamus hidup ‎mereka.‎

Wednesday, September 9, 2009

~tips menjadi TERKENAL dikalangan teman~

hndk mnjadi trknl d klgn rkn2???...pasti ada y trsyum...knpa hrus malu???sbnrnya apabla dknli rmi, ia akn mnjdkn kmu lbh brkyakinan...tp jgn pla trknl krn knkalan...
dlm hal ini biarlah kta dknli krn prs0naliti +ve...:

  1. aktif dgn plbagai aktvt- sntiasa pnuhkn msa lpg dgn aktvt brfaedah, dptkn knln bru
  2. mnjd s0rg yg pramah- ambil inisiatif utk menyapa trlbh dhulu/ajk org brbual
  3. jdlah dri sndri- stiap prs0naliti mmpnyai rknnya sndri, jka kmu tiru pers0naliti org lain ia xkn mghsilkn hbgn yg kekal
  4. pndgr yg baik- agk sukar mnjd pndgr yg baik ttp cra ini mampu mmbuatkn org lain rpt dgn kta
  5. hndari tkanan- elak tension & jgn bbnkn tknn trsbt kpd rkn2
  6. prnan mata- pndg mata ktk brbual, jgn pndg arah lain krn se0lah2 kta x sng dgn khdrannya...
sumber: dara.com...

Monday, September 7, 2009

~barangsiapa menginginkan.....cukuplah baginya~

barangsiapa menginginkan teman,
cukuplah Allah mnjadi temannya...

barangsiapa menginginkan kekayaan,
cukuplah qana'ah menyertainya...

barangsiapa menginginkan nasihat,
cukuplah kematian menasihatinya...

barangsiapa menginginkan harta simpanan,
cukuplah Al-Quran mnjadi barang simpanannya...

barangsiapa yang tidak cukup dgn ke4 hal ini,
cukuplah NERAKA baginya...

~na'uzubillahi min zaalik...~

Thursday, September 3, 2009

~inf0!inf0!inf0!~

sdikit prk0ngsian...sma2 kta ambil renung ciptaan ALLAH...
  • kbykan debu yg ber flying di umah kta dtgnya drpd sel2 kulit kta yg mati
  • jika smua salur drh manusia dicantumkn, ble mliputi jln rya spnjg 96,000 km...say subhanallah
  • manusia brnafas kira2 23,000x/hari
  • stiap ari,darah akn traveling in our b0dy sejauh 180,000km