Thursday, September 10, 2009

DI MANA MARUAH ARTIS KITA?

“Saya tidak gadai maruah”. Itulah jawapan seorang artis wanita apabila ditanya tentang ‎adegan lakonan beliau berpelukan dengan seorang artis lelaki yang menunjukkan beliau ‎kelihatan seolah-olah seperti dicium oleh artis lelaki tersebut. Alasannya mudah sahaja. ‎Ketika itu beliau berpakaian lengkap dengan seluar Jeans dan baju T-shirt. Bagi beliau, ‎apa yang dilakukan olehnya adalah perkara biasa sahaja. Oleh itu, tidak ada apa yang ‎perlu beliau kesal dan sesalkan.‎

Memang betul, apa yang dilakukan oleh artis wanita tersebut hanyalah lakonan ‎semata-mata, dan kita juga percaya bahawa beliau tidak pernah melakukan adegan ‎bercuim tersebut, malah adegan tersebut dilakukan dengan menggunakan muslihat ‎kamera (camera trick) seperti yang beliau jelaskan. Namun persoalannya, adakah adegan ‎berpelukan tersebut belum lagi mencapai tahap yang dikatakan sebagai menggadai ‎maruah ? Adakah keadaan pahanya yang berada di atas paha artis lelaki tersebut juga ‎dilakukan secara muslihat kamera ?‎

Ya ! Setiap orang memang berhak menentukan definisi maruah bagi diri mereka ‎sendiri. Mungkin bagi sesetengah orang, berpakaian mandi di kolam renang dan tepi ‎pantai bukanlah sesuatu yang patut dimalukan kerana pakaian yang dipakai tersebut ‎sesuai dengan tempat dan suasana. Namun bagi sesetengah pihak pula, pakaian mandi ‎tetap dianggap menjolok mata, lalu tidak sesuai dipakai oleh wanita muslimah, walau di ‎mana sahaja mereka berada, kecuali di tempat tertutup yang hanya dihadiri oleh kaum ‎wanita dan kanak-kanak sahaja.‎

Isu ini sebenarnya adalah isu lama yang muncul dalam bentuk yang baru. ‎Sebelum ini pun ada artis wanita yang berlakon di tepi pantai dengan hanya berpakaian ‎mandi ala artis-artis Hollywood. Ada pula yang berkemban sehingga menampakkan paha ‎dan belahan dada. Malah, ada juga artis lelaki yang meniru lakonon Mr. Bean dengan ‎menampakkan kepada penonton bahawa beliau seolah-olah sedang bertelanjang bulat. ‎Adakah aksi-aksi seperti ini tidak dianggap sebagai menggadai maruah ?‎

Nampaknya sebelum kita pergi lebih jauh lagi dalam isu ini, kita perlu ‎memastikan terlebih dahulu kayu ukur yang sepatutnya kita gunakan dalam menentukan ‎makna “menggadai maruah” itu sendiri. Hal ini kerana selagi kita berbeza dalam ‎menentukan kayu ukur tersebut, maka selagi itulah kita tidak akan selesai dalam ‎membicarakan isu-isu yang berbangkit, dan selagi itulah juga kita akan terus berbalah ‎tentang perkara yang sepatutnya kita selesaikan.‎

Sebagai sebuah negara Islam yang sedang mempromosikan prinsip-prinsip Islam ‎Hadhari, sudah pastinya kita mahu melihat prinsip Islam Hadhari yang kelapan, iaitu ‎Keutuhan Budaya dan Moral turut mewarnai dunia seni dan hiburan tanah air. Oleh itu, ‎kuyu ukurnya di sini adalah ajaran-ajaran agama Islam, khususnya bagi artis-artis yang ‎beragama Islam, dan nilai-nilai moral dan peradaban timur yang tinggi bagi artis-artis ‎yang bukan beragama Islam.‎

Mungkin ada yang bertanya ; “Kalau itulah kayu ukurnya, maka susahlah bagi ‎orang-orang filem untuk cari makan?”. Apa tidaknya, banyak pantang larang yang ‎terpaksa dipatuhi. Tidak boleh bercium, dan tidak boleh berpeluk-pelukan. Malah adegan ‎berpegangan tangan antara lelaki dan perempuan juga tidak boleh ditonjolkan. Lalu ‎bagaimanakah seseorang pengarah boleh menimbulkan perasaan kasih sayang, cinta, ‎kemesraan, kebahagiaan, dan sebagainya dalam filem dan drama yang mereka arahkan ‎jika adegan-adegan tersebut tidak dibolehkan.‎

Lalu ada di kalangan pelakon yang meluahkan perasaan kurang senang dengan ‎kenyataan Mawi yang meletakkan syarat tidak mahu berpegangan tangan dengan pelakon ‎wanita dalam filem Aduh Saliha. Ada yang memberi alasan mencari rezeki bagi ‎‎‘menghalalkan’ tindakan mereka tersebut, dan ada pula yang mengatakan tidak mengapa ‎kerana mereka bukannya mahu berseronok melalui lakonan sebegitu, tetapi lebih kepada ‎menghayati watak dan menghidupkan lakonan. Lagipun adegan-adegan tersebut hanya ‎meliputi sebahagian kecil sahaja daripada keseluruhan drama atau filem.‎

Walau apa pun alasan yang diberikan, kejayaan sesebuah filem atau drama ‎sebenarnya lebih banyak terletak kepada kreativiti seseorang pengarah. Bagi ‎menghasilkan filem yang mengisahkan tentang kehidupan junjungan Nabi Muhammad ‎s.a.w. misalnya, pengarah filem tersebut mestilah mengambil kira dan menghormati ‎pandangan jumhur ulama yang mengharamkan penonjolan watak Nabi Muhammad s.a.w. ‎secara visual. Lalu bagaimanakah filem tersebut boleh dihasilkan ?‎

Bagi pengarah yang tidak mahu berfikir panjang, mereka akan segera angkat ‎tangan, tetapi tidak bagi pengarah yang betul-betul berjiwa seni. Bagi mereka, banyak ‎kaedah yang boleh digunakan, dan kesannya kepada penonton masih tetap sama. Lalu ‎terciptalah kaedah pergerakan kamera bagi menggambarkan pergerakan Nabi ‎Muhammad s.a.w. Kisah hidup Rasululullah s.a.w. bersama para sahabat dan isteri ‎baginda pula diceritakan melalui perbualan orang ramai sesama mereka. Maka, di ‎manakah susahnya? Yang pentingnya, penonton memahami mesej yang hendak ‎disampaikan.‎

Pernahkah anda menonton filem Lion of The Disert. Walaupun pengarah dan ‎barisan pelakon utamanya tidak beragama Islam, mereka berjaya menghasilkan filem ‎tersebut tanpa perlu menonjolkan adegan-adegan yang bercanggah dengan ajaran Islam. ‎Hasilnya tetap memuaskan, jauh lebih baik berbanding filem Leftenan Adnan, Embun, ‎dan Paloh. Malah, di akhir filem tersebut ada penonton yang mengalirkan air mata.‎

Sehubungan itu, penulis merasakan bukanlah suatu masalah yang besar bagi M. ‎Nasir untuk menghasilkan Aduh Saliha walaupun terpaksa akur dengan syarat yang ‎dikenakan oleh Mawi tersebut. Berpegangan tangan sebenarnya bukanlah suatu slot yang ‎sangat penting dalam sesebuah filem atau drama. Tanpa adegan tersebut pun sesebuah ‎filem dan drama masih boleh menyampaikan mesejnya kepada para penonton. Dan jika ‎terpaksa sekalipun, tangan pelakon tambahan (yang bukan beragama Islam) boleh ‎digunakan seperti yang selalu kita lihat dalam drama bersiri Mutiara Hati.‎

Justeru itu, perasaan kasih sayang, cinta, kemesraan, kebahagiaan, kegembiraan, ‎kesedihan, dan sebagainya tidak semestinya ditonjolkan melalui adegan berpelukan di ‎ranjang, berpegangan tangan secara ghairah, kendong-mengendong, berdakapan sambil ‎menepuk belakang, berbaring di atas riba, usap-mengusap rambut, mandi bersama di ‎perigi secara berkemban, dan adegan-adegan yang seumpamanya. Banyak lagi alternatif ‎lain yang boleh digunakan bagi menyampaikan mesej yang sama kepada penonton.‎

Oleh itu, sudah sampai masanya industri filem di negara ini diselamatkan ‎daripada unsur-unsur yang boleh mencemarkan nama baik Malaysia sebagai sebuah ‎negara Islam. Para pelakon pula hendaklah disedarkan tentang peranan mereka sebagai ‎duta bagi memperkenalkan negara ini dan gagasan Islam Hadhari ke seluruh pelusuk ‎dunia melalui lakonan yang mantap, hidup, dan berkesan, bukannya melalui lakonan ‎yang boleh diistilahkan sebagai ‘berani malu’.‎

Sekiranya usaha-usaha seperti ini tidak dilakukan melalui sekarang, kita bimbang ‎suatu hari nanti terdapat artis negara ini yang bercakap tentang maruah dan harga diri, ‎sedangkan ketika itu beliau hanya mengenakan coli dan bikini sahaja ! Malah lebih ‎membimbangkan lagi jika maruah dan harga diri sudah tidak ada dalam kamus hidup ‎mereka.‎

1 comment:

  1. Ini adalah artikel saya. Kenapa tak tulis nama pengarang asal di atas. Apa pun saya tak marah. Hubungi saya di pustakahilmi@yahoo.com , pustakahilmi.blogspot.com , dan 013-9205011

    ReplyDelete