Sunday, October 4, 2009

Khas buat Bakal PENDIDIK generasi akan datang


Guru adalah ahli ilmu yang menyampai dan mengembang serta menjayakan ilmu dalam masyarakat.


Ia merangkumi ilmu pengetahuan mengenai Islam atau pengetahuan umum dengan ciri serta tugas yang perlu mendapat pembelaan sewajarnya dalam masyarakat.

Mereka boleh menjalankan tugas dengan berkesan untuk mewujudkan umat yang beriman, berilmu dan beramal.

Dalam Islam, dilihat dari segi sejarah dan ajarannya, ada beberapa istilah yang digunakan mengenai guru. Antaranya ialah mu'allim, murabbi, mu'addib dan mudarris,mursyid


Mu'allim ialah guru yang menjayakan proses penyampaian dan pembangunan ilmu dalam diri manusia (ta'lim).


Dalam al-Quran, proses ta'lim ini dimulakan sendiri oleh Allah dalam ayat yang bermaksud: Dan Allah ajarkan kepada Adam (hakikat) segala nama.(Q.2.31) Kemuliaan Nabi Adam dengan mendapat taklim daripada Allah.

Dengan memiliki ilmu menjadikannya sebagai makhluk paling mulia. Allah memerintahkan malaikat sujud memuliakannya, bukan sujud ibadat.


Guru sebagai mu'allim, mengajar dan mengembangkan ilmu serta menjayakannya dalam masyarakat - satu usaha suci dan mulia.

Dengan itu, kemuliaan kedudukan guru dalam sejarah dan masyarakat Islam terjamin. Sikap memuliakan guru dan ilmu pengetahuan oleh umat Islam mendapat sanjungan tinggi daripada Franz Rosenthal dalam bukunya Knowledge Triumphant.


Beliau berpendapat sukar untuk dicari peradaban seperti Islam yang memuliakan ilmu pengetahuan dan guru. Kedudukan mulia diberikan kepada guru, walaupun mereka bukan berstatus ulama.


Guru dipanggil juga sebagai murabbi, iaitu guru yang mendidik (menjayakan tarbiah). Mereka menjayakan peningkatan murid dari segi akal, rohani, jiwa dan fizikal. Pengasuh.

Mereka bertanggungjawab membentuk murid yang memiliki peribadi yang baik. Apa yang berlaku ialah proses peningkatan dalam diri murid.

Guru yang mempunyai kemampuan sebagai murabbi - apa lagi murabbi dalam pengertian kerohanian - dipandang mulia dalam Islam kerana mereka mempunyai keperibadian yang mampu membawa manusia ke jalan kebaikan dan kebenaran sebagaimana yang dikehendaki Allah dan RasulNya.


Alangkah beruntung dan bahagianya masyarakat dengan adanya guru yang bukan sahaja menyampaikan mata pelajaran kepada murid, tetapi turut meningkatkan peribadi dan kemampuan mereka.

Guru yang berfungsi sebagai murabbi dan penuh iltizam diperlukan oleh masyarakat dan umat Islam dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dihadapi Islam. Peradaban guru sedemikian sifatnya mampu menyelesaikan banyak masalah.

Dalam Islam, guru juga dipanggil mursyid, iaitu guru yang membimbing, menentukan kehidupan serta nilai yang betul.

Ini memang tepat dengan tujuan dan matlamat pendidikan sebagai proses menyampaikan kepada generasi muda, apa yang benar, baik dan unggul yang pernah diketahui, difahami, diyakini dan diamalkan dalam peradaban manusia, khususnya Islam.

Ini termasuk setiap yang positif yang boleh dimanfaatkan daripada peradaban lain, termasuk barat. Mana-mana yang negatif pula perlu dijauhkan.

Guru sebagai pendidik, adalah ahli ilmu yang membimbing manusia ke jalan yang betul dalam pandangan hidup, hidup kerohanian, akhlak dan kepakaran dalam bidang ilmu yang berfaedah.

Dengan ini, dikatakan bahawa pendidikan atau irsyad itu berjalan seiring dengan matlamatnya.

Dalam Islam guru juga dipanggil muaddib, iaitu guru yang menjayakan adab. Yang dimaksudkan dengan adab ialah semua jenis gerak-geri, sikap dan perbuatan serta nilai yang betul dan 'manis' dalam hubungan dengan semua pihak, bermula dengan Tuhan, orang tua, ibu, bapa, guru, rakan dan seterusnya.


Inilah konsep adab yang menyeluruh dan luas yang disebutkan oleh Nabi Muhammad saw. dalam hadis yang lebih kurang bermaksud: Tuhanku menjayakan pendidikan adab dalam diriku dan Dia sempurnakan pendidikan adab itu.


Adab dalam pengertian yang menyeluruh dan mendalam inilah yang dimaksudkan oleh al-Mawardi dalam kitabnya Adabud-Dunya wad Din (Adab hidup dunia dan hidup beragama).


Kita boleh lihat bagaimana pendidikan tidak terpisah daripada adab atau akhlak yang tinggi. Pendidikan yang dijayakan oleh guru yang beradab kepada murid adalah pendidikan yang unggul. Ia memang diharapkan melihat kepada pelbagai masalah akhlak dan moral yang dihadapi sekarang


Akhirnya guru digelar dalam Islam sebagai mudarris, iaitu mereka yang mengajar mata pelajaran kepada pelajar. Guru sebagai mu'allim, murabbi, muaddib dan mursyid adalah kualiti yang perlu diusahakan bersama supaya ia muncul di kalangan kita dan dengan itu banyak masalah akan selesai.

Mursyid adalah guru yang membimbing kepada murid untuk berjalan menuju Allah

WALLAHUA’LAM

No comments:

Post a Comment